suria

PM Dijangka Hadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 11 Jun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2011 di sini pada 11 Jun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata majlis rumah terbuka itu dijangka dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata turut dijangka hadir pada majlis rumah terbuka itu yang akan diadakan di Padang Merdeka di sini ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Kita berharap lebih 15,000 orang akan hadir pada majlis ini yang akan menonjolkan kebudayaan masyarakat Kadazandusun," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjuran majlis rumah terbuka itu di sini Jumaat.

Beliau berkata majlis rumah terbuka itu, yang diadakan sempena sambutan Pesta Kaamatan atau pesta menuai di Sabah, dijangka diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal Sabah, Stacy, yang merupakan juara Akademi Fantasia 6.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain