suria

Penganggur Tikam Rakan Sebilik Dihantar ke Hospital Sakit Jiwa

SHAH ALAM: Seorang penganggur yang menikam rakan sebiliknya dalam satu pergaduhan, diarahkan supaya dihantar ke Hospital Sakit Jiwa selepas didapati tidak waras semasa melakukan kesalahan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Noor Azian Shaari memerintahkan supaya Zulkifli Omar, 30, ditahan sehingga satu tempoh yang diperkenankan oleh Sultan.

Beliau pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati Zulkifli bersalah melakukan perbuatan tersebut, bagaimanapun keterangan pakar psikologi mengesahkan bahawa dia tidak mengetahui perbuatan itu salah di sisi undang-undang semasa kejadian.

Zulkifli didakwa atas pertuduhan membunuh Roslan Natsabki @ Mohamed Sabki, 31, pada pukul 11 pagi, 26 November 2008 di rumah nombor 47, Jalan PJU 5/8, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili oleh peguam Abdul Rashid Abdul Rahman.

Pergaduhan tersebut berlaku di bilik di bahagian atas rumah kakak ipar tertuduh, Noreny Abdul Wahid yang mendengar bunyi seperti orang sedang bergaduh.

Apabila keadaan senyap, Noreny melihat mangsa berada dalam keadaan sujud di bahagian tangga manakala tertuduh berada di sebelahnya.

Zulkifli kemudiannya meminta mangsa dihantar ke hospital yang kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman di jantung.

Artikel Sebelum

Artikel Lain