suria

Pemilihan PAS: Kredibiliti Atau Populariti Jadi Penentu

KUALA LUMPUR: Sehingga semalam, tiga calon timbalan presiden sudah mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan nombor dua dalam pemilihan pada Muktamar Pas kali ke-57 dari 3 hingga 5 Jun di Taman Melewar, Gombak.

Penyandang Nasharuddin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Anggota Jawatankuasa Pas Pusat Mohamad Sabu sudah mengesahkan bertanding.

Tiga calon lain telah menarik diri iaitu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, penyandang Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Pas sebelum ini mendakwa sebarang pertandingan jawatan dalam parti tidak akan menggugat kestabilan parti malah menyifatkannya sebagai petanda amalan demokrasi yang segar.

Apa yang menjadi persoalan, adakah perwakilan parti dingatkan atas dasar apa pemilihan itu dibuat dan calon mana yang perlu disokong selepas ada pemimpin parti itu menggunakan istilah 'taklif laa tasrif', iaitu perwakilan perlu memilih seseorang calon dengan tujuan utama supaya dia memainkan sesuatu peranan bukan sebagai tanda pengiktirafan terhadap kehebatan seseorang calon itu.

Adakah perwakilan sedar bahawa calon yang mereka pilih itu sedar bahawa jawatan itu datang bersama tanggungjawab dan bukan penghormatan?

Banyak laporan media menyebut mengenai kumpulan-kumpulan di dalam Pas iaitu kumpulan pro-ulama dan kumpulan 'Erdogan' yang dikaitkan dengan sokongan kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pas tidak perlu berselindung, malah anggota parti dan pemerhati politik sedia maklum mengenai rahsia terbuka kewujudan kumpulan pro-ulama dan pro-Anwar Ibrahim di dalam parti itu yang mahukan barisan kepimpinan dokongan mereka dalam hierarki tertinggi parti.

Selain faktor rahsia terbuka itu, pemilihan Pas kali ini nampak lebih sengit berbanding dua tahun lepas, juga kerana dikaitkan dengan populariti calon, sama ada mereka biasa terpampang di dada-dada akhbar mahupun laporan berita di internet.

Apakah pilihan oleh 1,100 perwakilan dari 180 kawasan Pas di seluruh negara disandarkan pada kredibiliti seseorang pemimpin atau populariti yang mereka raih melalui publisiti di media massa?

Sebagai contoh, naib presiden Pas Datuk Mahfuz Omar pernah dibidas oleh penyokong Pas di blog pro-pembangkang baru-baru ini yang mengatakan antara lain Anggota Parlimen Pokok Sena itu mencari publisiti berlebih-lebihan berbanding tumpuannya dalam menjaga kawasan parlimen yang diwakilinya.

Calon timbalan presiden dan anggota jawatankuasa Pas pusat Mohamad Sabu pula terpaksa memanggil sidang akhbar bagi memberikan nasihat supaya penyokongnya di laman sosial Facebook menggunakan nama 'Kelab Mohamad Sabu Dot Com' menghentikan pelancaran laman berkenaan pada 6 Mei kerana tidak mahu disalah anggap berkempen untuk jawatan berkenaan.

"Ingin saya jelaskan, laman ini bukan milik saya tapi diwujudkan oleh rakan, peminat tanpa mengira kaum dan parti di seluruh negara," dakwanya, yang telahpun meraih publisiti dengan tindakan itu.

Bagaimanapun tidak dapat disangkal, Mohamad Sabu menjadi popular di laman berkenaan, selepas sekian lama menjadi ayam sabung Pas kerana kelantangan semasa berceramah di seluruh negara.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dilaporkan sebagai berkata berdasarkan pengalaman beliau, kempen pemilihan melalui laman sosial itu, jika berlaku, ia tidak akan memberi kelebihan kepada calon berkenaan.

"Dalam budaya Pas, ahli-ahlinya sudah tahu etika berkempen kerana perwakilan kenal pemimpin dari segi potensinya dan dari pengalaman lepas sesiapa yang berkempen secara berlebihan tidak akan menang," katanya

Bercakap soal kredibiliti, penganalisis politik berpendapat Tuan Ibrahim mempunyai sokongan kuat dari pimpinan tertinggi Pas dan membuat 'pusingan U' untuk bertanding walaupun sebelum ini berkali-kali menyatakan tidak mahu merebut jawatan nombor dua parti.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun Che Hamdan Mohd Razali berkata Tuan Ibrahim tentunya mendapat restu dari pimpinan tertinggi parti, jika tidak masakan beliau membuat keputusan untuk bertanding.

"Anggota parti peringkat akar umbi mungkin tidak berapa gemar dengan Nasharuddin yang dikaitkan berhubung kerajaan perpaduan dengan Umno. Malah dia mungkin dilihat tidak begitu menonjol atau kurang berkesan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Che Hamdan berkata ia berbeza pada masa di mana Allahyarham Fadzil Noor memimpin Pas bergandingan dengan Abdul Hadi dahulu, yang mana jelas kelihatan kedua-duanya bergerak seiring demi parti.

"Tidak ada wakil dari Kelantan juga menjadi satu faktor sokongan menyebelahi Tuan Ibrahim dengan Mohamad Sabu dijangka menerima sokongan kumpulan Erdogan," katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun pula berpendapat pengaruh yang dipunyai Tuan Ibrahim melangkaui kumpulan tertentu kerana beliau mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin, kelayakan akademik yang baik sebagai bekas pensyarah.

Malah Tuan Ibrahim yang pernah terpilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jengka, Pahang juga dikatakan mampu menarik sokongan kumpulan Erdogan.

Abdul Ghapa berkata faktor-faktor itu menyamai kelayakan Nasharuddin, lantas memberi alternatif yang baik kepada perwakilan Pas jika harus memilih antara kedua-dua calon itu.

Jadi, kredibiliti atau populariti mungkin mempengaruhi faktor hala tuju Pas, dengan bukan sahaja pendekatan berbeza malah pemikiran juga pelbagai di kalangan tokoh dan calon parti itu termasuk hala tuju kerjasama dengan Umno, yang akan terserlah pada awal Jun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain