suria

KPDNKK Pulau Pinang Rampas 19, 000 Liter Subsidi Cuba Diseludup Ke Sempadan

GEORGE TOWN: Pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang semalam merampas 19,000 liter diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke sempadan negara.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya M. Guna Selan berkata diesel itu dirampas daripada sebuah lori tangki pada 3.20 petang ketika pasukan itu mengadakan operasi di Taman IKS Perda, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) pukul 3.20 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lori tangki itu didapati ia membawa muatan anggaran 19,000 liter diesel bersubsidi yang bernilai kira-kira RM47,500 tanpa mempunyai dokumen yang sah.

"Berikutan itu pihak KPDNKK telah menahan seorang lelaki berusia 61 tahun yang merupakan pemandu lori berkenaan untuk siasatan lanjut...ketika ditahan lori tangki itu telah siap sedia untuk bertolak ke sempadan," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Guna Selan berkata diesel itu disyaki telah dibeli daripada stesen minyak di sekitar kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Beliau mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya mematuhi peraturan sedia ada dan tidak bersubahat dengan sindiket yang terlibat dengan aktiviti haram itu.

Katanya kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 (bagi perbadanan) dan denda RM100,000 (bagi individu) atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Guna Selan berkata sepanjang lima bulan pertama tahun ini, kes berkaitan penyeludupan diesel dan petrol di Pulau Pinang ialah sebanyak 27 kes melibatkan nilai rampasan RM270,000.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain