suria

Kerajaan Pilih Kehendak Rakyat Dengan Kekalkan Harga RON95 & Diesel - PM

TOKYO: Kerajaan telah memilih untuk meletakkan kepentingan rakyat di hadapan apabila membuat keputusan untuk tidak menarik balik subsidi ke atas harga minyak RON95 dan diesel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat walaupun pada masa yang sama ia merupakan satu bebanan kewangan ke atas kerajaan.

“Saya cuma berharap, rakyat akan dapat menghargai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan kerana kerajaan melakukannya atas nama kepentingan rakyat walaupun dari perspektif ekonomi makro, mengekalkan subsidi yang begitu besar tidak akan mencerminkan pengurusan pentadbiran yang bagus.

“Mungkin bagi rakyat kebanyakan, adalah agak sukar untuk mereka menyedari akan hakikat ini tetapi bagi mereka yang memahami ekonomi angka, mereka akan faham pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh kerajaan,” kata perdana menteri kepada para wartawan Malaysia sebelum mengakhiri kunjungan singkatnya ke sini.

Beliau berada di sini untuk menyampaikan ucapan pada Persidangan Antarabangsa Nikkei dan bertemu dengan peneraju-peneraju industri.

Apabila ditanya, berapa lama lagi kah kerajaan akan mampu menanggung subsidi tersebut, Najib berkata ”Saya tidak tahu...dan tiada siapa yang tahu. Segalanya bergantung kepada harga pasaran minyak dunia."

Tambah Najib, kerajaan akan melakukan yang termampu untuk melihat ke arah langkah-langkah yang lebih kreatif dalam menguruskan kenaikan tanggungan subsidi ini.

Jelas perdana menteri, kerajaan pada awalnya telah membajetkan RM11 bilion untuk subsidi minyak/diesel tahun ini tetapi dengan kenaikan harga minyak global, angka sebenar jumlah yang telah disubsidikan meningkat kepada RM20 bilion.

“Ini adalah satu jumlah yang sangat besar dan ini bermakna kerajaan terpaksa menimbang langkah-langkah alternatif apabila memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95 dan juga Diesel,” tambahnya.

Berhubung dakwaan, semua yang dilakukan ini hanya menjurus ke arah pilihan raya yang lebih awal, Najib menjawab: ”Orang sentiasa mengaitkan perkara ini dengan pilihan raya. Ini adalah perkara biasa di Malaysia. Ia tidak sama sekali mengejutkan saya."

Tetapi apa yang lebih penting, kata Najib ialah, semua yang kita lakukan ialah dengan mengambil kira kehendak rakyat terlebih dahulu dan itulah yang telah kita lakukan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Najib turut mengumumkan bahawa syarikat-syarikat gergasi Jepun telah bersetuju untuk melabur sejumlah RM3.8 bilion dalam tempoh setahun ini di Malaysia.

“Jumlah yang saya sebutkan ini ialah jumlah rasmi yang disahkan walaupun saya masih belum dapat mengumumkan perinciannya lagi.

“Dan untuk pelaburan jangka panjang, syarikat-syarikat Jepun akan melabur sejumlah RM5.22 bilion di antara tahun 2013 hingga 2015 dalam beberapa projek tertentu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain