suria

Kenaikan Tarif Elektrik Diluluskan

PUTRAJAYA: Majlis Ekonomi Negara (NEC) pada Jumaat meluluskan kenaikkan tarif elektrik yang butirannya hanya akan diumumkan Isnin ini.

NEC yang bermesyuarat di sini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh beberapa anggota Jemaah Menteri, lapor Malaysiakini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dijadualkan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang Isnin bagi membuat pengumuman rasmi.

Sejak beberapa minggu lalu, Kabinet berulang-kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan tarif elektrik dalam usaha kerajaan mengurangkan subsidi negara.

Pada Rabu lalu, Kabinet menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga Petrol RON95 dan diesel.

Sementara itu satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada petang Jumaat menegaskan bahawa satu pengumuman mengenai tarif elektrik dan gas akan dibuat tidak lama lagi tanpa memaklumkan tarikh bila.

Bagaimanapun kenyataan itu mengesahkan bahawa soal mengkaji semula tarif yang sedia ada sekarang telah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada Jumaat.

“Satu kenyataan mengenainya akan dibuat tidak lama lagi. Oleh yang demikian semua pihak adalah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Kementerian.

Pada Khamis, Menterinya, Datuk Seri Peter Chin berkata, isu mengenai tarif baru itu memang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain