suria

Kedai Cendol Digantung Kepala Babi Pernah Disimbah Cat Hitam - Polis

NIBONG TEBAL: Gerai cendol berhampiran Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang digantung kepala babi selain disimbah cat merah dua hari lepas, pernah disimbah cat hitam serta peralatannya dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata bagaimanapun pemilik gerai tidak melaporkan kepada polis perbuatan khianat yang berlaku pada Januari dan Mac lepas itu.

Polis percaya kesemua perbuatan terbabit termasuk panggilan telefon misteri kepada pemilik gerai dilakukan oleh pihak yang sama, katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Mengenai kepala babi tersebut, Shafien berkata ia telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk dianalisa bagi mengetahui bila haiwan itu disembelih.

"Polis turut mendapatkan maklumat daripada penjual khinzir di sekitar SPS bagi mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan khianat itu," katanya.

Shafien berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menakutkan secara Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan.

Dalam kejadian pagi Rabu lepas, jemaah Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang baru selesai menunaikan solat Subuh terkejut apabila melihat kepala babi tergantung di gerai cendol yang terletak berhampiran masjid itu.

Gerai tersebut juga disimbah dengan cat merah, dan sehari sebelum itu pemilik gerai berkenaan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang meminta beliau berhati-hati. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain