suria

Subsidi Bahan Api Akan Dikaji Jika Harga Minyak Cecah AS$110-AS$120 Setong

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengkaji semula subsidi bahan api sekiranya harga minyak mencecah di antara AS$110 dan AS$120 setong, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Kerajaan pada Rabu memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini.

"Kita tahu pada masa ini, banyak benda lain juga meningkat, termasuk harga makanan dan perumahan. Jadi kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan (harga bahan api)," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baru Standard Financial Planner Sdn Bhd di sini Khamis.

Selain itu, keputusan berkenaan juga berdasarkan kepada penurunan harga minyak daripada US$110 setong sehingga pada April, kepada lebih US$100 setong pada masa ini, kata Lim dan menambah bahawa kerajaan sentiasa memantau pasaran minyak mentah.

Beliau berkata jika harga minyak terus meningkat, kerajaan akan berbelanja lebih terhadap subsidi, yang akan membawa kepada defisit lebih tinggi dan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

"Apabila kita (kerajaan) merancang belanjawan tahun ini, kita melihat pada harga minyak di antara AS$85 dan AS$90 setong.

"Sudah tentu jika (harga minyak) turun di bawah US$100 setong, kerajaan berkemungkinan tidak melakukan apa-apa kerana kita boleh mencari cara untuk menanganinya. Tetapi jika melangkaui US$110, barulah kita menimbangkan (beberapa langkah) memandangkan ia boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi," kata Lim.

Walaupun, rakyat boleh terus menikmati subsidi bahan api, Lim menasihatkan mereka supaya berhemat.

Semasa ditanya sama ada terdapat kenaikan dalam kadar tarif elektrik, Lim berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan bermesyuarat esok bagi membincangkan dan memutuskan isu tersebut.

Mengenai tinjauan masa depan ekonomi Malaysia pada suku kedua, Lim yakin negara akan dapat mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik pada 4.6 peratus dengan peningkatan pelaburan langsung asing.

Artikel Lain