suria

Polis Siasat Punca Kejadian Tanah Runtuh Jika Wujud Unsur Kecuaian

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian dalam kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 penghuni di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini, sekiranya laporan pakar mengesahkan perkara itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menunggu laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan agensi-agensi lain bagi mengenal pasti punca yang mengakibatkan tanah runtuh itu.

"Kita (polis) sedang menunggu laporan daripada pakar-pakar yang berkaitan, sekiranya tragedi itu kemungkinan terdapat unsur yang menjurus kepada kecuaian kita akan siasat individu yang terbabit," katanya.

Buat masa ini, katanya, polis mengklasifikasikan mangsa yang terkorban dalam tragedi itu sebagai mati mengejut. Khalid berkata setakat ini polis juga tidak menerima sebarang laporan daripada pihak keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lepas.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kelantan di Bukit Aman di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Pengarah Urusan Syarikat Pembinaan BLT (PBLT) Mohd Redza Mohd Yusof dan Pegawai Pemerintah Batalion 8, PGA Pengkalan Chepa Supt Rooslan Radzi.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2.30 petang itu, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Sementara itu, mengenai perkembangan video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid berkata polis telah mengenal pasti pelaku dalam video itu dan telah memanggilnya untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun Khalid enggan mengulas lanjut mengenai identiti pelaku dalam video itu.

Sebelum itu, dalam ucapannya pada majlis penyampaian sumbangan itu, Ismail berkata polis telah menerima sumbangan sebanyak RM121,915 daripada lima institusi kewangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

"Mangsa-mangsa kebakaran telah dipindahkan ke unit-unit baru perumahan polis yang projeknya telah disiapkan oleh PBLT sebelum kebakaran tersebut," katanya.

Kejadian yang kira-kira 5.30 pagi pada 20 Feb lepas, menyebabkan seramai 89 orang daripada 16 keluarga kehilangan tempat tinggal apabila empat blok kuarters hangus dalam kebakaran.

Jumlah kerugian yang dialami keseluruhannya lebih kurang RM1.5 juta.- BERNAMA

Artikel Lain