suria

Pemilihan PAS: Mohamad Nizar Calon Terakhir Tanding Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden PAS.

Mohamad Nizar berkata, pihaknya telah menghantar surat pengesahan untuk bertanding jawatan itu ke Pejabat Agung PAS pada Khamis.

Sementara itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu bahawa beliau hanya akan bertanding bagi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat sahaja walaupun layak untuk merebut kerusi Naib Presiden.

Beliau membuat keputusan itu selepas bekas naib presiden sebelum ini, Datuk Husam Musa membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu kali ini.

"Saya rasa oleh kerana PAS melaksanakan keputusan secara konsensus, saya rasa cukup kalau saya menumpu pertandingan AJK sahaja dan tidak perlu di naib presiden," kata Mohd. Hatta kepada Harakahdaily di sini.

Pada Rabu beliau memberitahu masih belum menarik diri lagi untuk bertanding jawatan naib presiden tetapi belum menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pemilih.

Sementara Mohamad Nizar yang turut mendapat pencalonan untuk AJK PAS Pusat tapi menolaknya kerana mahu memberikan tumpuan kepada naib presiden sahaja.

Jawatankuasa Pemilihan PAS akan mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam muktamar PAS kali ini dalam satu sidang media petang Jumaat.

Hari ini adalah hari terakhir untuk calon-calon yang layak membuat pengesahan pertandingan.

Selain Mohamad Nizar yang dijangka bertanding untuk naib presiden adalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar yang juga penyandang; Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Exco kerajaan Kelantan Datuk Nik Mohd Amar.

Naib presiden sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan bertanding timbalan presiden dalam muktamar kali ini.

Artikel Lain