suria

Najib Tiba Di Tokyo Untuk Hadiri Persidangan Nikkei Antarabangsa Ke-17

TOKYO: Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Rabu malam bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-17 Nikkei.

Pada persidangan itu, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucaptama mengenai hubungan kukuh dan pertumbuhan lebih besar di Asia dan langkah-langkah bagi menghadapi cabaran-cabaran rantau ini pada Khamis.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada kira-kira 9 malam waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Malaysia Ke Jepun Datuk Shaharuddin Md. Som dan pegawai-pegawai kanan kedutaan.

Ketibaan Najib dan isteri di hotel penginapan di Imperial Hotel di pusat bandar Tokyo, disambut oleh Tsuneo Kita, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Incoporated, kumpulan media antarabangsa yang menganjurkan persidangan berprofil tinggi itu sejak 1995.

Ini merupakan kali pertama, Najib menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei yang pertama dihadirinya sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijangka menyampaikan bantuan dan simpati kepada Jepun yang masih lagi dihantui kesan buruk akibat gempa bumi, tsunami dan kerosakan loji nuklear pada Mac tahun ini yang menyebabkan ribuan orang terkorban dan ratusan ribu lain terjejas.

Perdana Menteri dijangka menggariskan langkah-langkah di mana Malaysia dan Jepun boleh meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.- BERNAMA

Artikel Lain