suria

Hasil Kajian Pakar Mengenai Pembinaan Kilang Lynas Akhir Jun - Mustapa

KUALA LUMPUR: Hasil kajian panel pakar bebas mengenai aspek keselamatan dan kesihatan terhadap pembinaan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang dijangka diketahui hujung bulan depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata panel pakar itu akan menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai projek itu dan juga perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Beliau menjelaskan panel pakar itu terdiri daripada empat pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan lima pakar dunia dalam bidang berkenaan.

"Panel pakar ini akan menjalankan kajian bermula 29 Mei sehingga 3 Jun ini," katanya pada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Agensi di sini, Khamis.

Skop kajian yang akan dilakukan panel pakar itu meliputi pengangkutan, radiasi, perlindungan (pekerjaan, awam dan alam sekitar), penilaian keselamatan, sisa buangan dan menutup kilang dan memulihkan alam sekitar.

Mustapa berharap sesetengah pihak tidak mempolitikkan isu pembinaan kilang itu sehingga hasil kajian diketahui.

"Saya harap isu ini tidak dipolitikkan dan harap pihak-pihak tertentu tidak membuat andaian mengenai hasil kajian oleh panel pakar kerana mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing," katanya.

Mustapa juga menjemput orang ramai yang mempunyai pendapat mengenai projek itu untuk menghantar pandangan masing-masing melalui e-mail dan surat bertulis kepada kementeriannya.

Pembinaan kilang bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, di kawasan perindustrian Gebeng itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai. -BERNAMA

Artikel Lain