suria

Dua Bekas Pegawai Syarikat Pelaburan Dituduh Kemukakan Pernyataan Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap lapan tuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Mohd Azham Mohd Noor, 46, bekas pengarah eksekutif Syarikat Kosmo Technology Industrial Berhad, didakwa mengemukakan satu pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad di Exchange Square, Bukit Kewangan di sini antara 2006 dan 2008.

Bapa kepada lima orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 122B (a)(bb) dibaca bersama Seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Bekas pengurus akaun syarikat itu, Lim Hai Loon, 41, pula mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan bersubahat dalam mengemukakan pernyataan palsu syarikat kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Ibu tunggal kepada dua orang anak itu didakwa bersubahat dengan syarikat berkenaan dengan mengemukakan satu pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad antara 2006 dan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 122B (a)(bb) dibaca bersama Seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti Charandeep Kaur menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua orang penjamin kepada setiap tertuduh, serta syarat tambahan iaitu pasport kedua-duanya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Andrew Davis, yang mewakili Mohd Azham, dan peguam Feisal Mustapha, yang mewakili Lim, memohon jaminan dikurangkan kepada RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama sepanjang soal siasat yang dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti sejak 2008.

Hakim Rosenani Abd Rahman membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain