suria

SUHAKAM Campur Tangan Untuk Bela Nasib Kelasi Terkandas Setahun Atas Kapal...

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan bertindak sebagai pengantara antara syarikat perkapalan dan pihak berkuasa untuk menyelamatkan 15 kelasi kapal yang terkandas dalam sebuah kapal kontena di pelabuhan Northport, Klang dan hidup dalam keadaan yang amat daif sejak lebih setahun lalu.

Kemelut yang sedang dihadapi oleh mereka telah didedahkan oleh akhbar The Star dalam laporan muka hadapannya pada Selasa.

Mereka telah menyeru agar ada pihak membebaskan mereka daripada ‘kapal neraka' tersebut.

Kapal itu kini telah terputus semua bekalan tenaga dan bekalan asas setelah tersadai berhampiran pelabuhan berkenaan setahun yang lalu.

Pesuruhjaya SUHAKAM, James Nayagam berkata, pihaknya telah menghubungi syarikat perkapalan HRC Shipping dan agensi kerajaan terbabit iaitu Jabatan Laut untuk membantu mangsa-mangsa berkenaan.

Beliau menegaskan, sekiranya sesi perundingan menemui jalan buntu, pihaknya akan mendedahkan dapatan kepada umum demi menegakkan keadilan kepada mangsa-mangsa.

Katanya lagi, sebagai langkah penyelesaian segera, SUHAKAM akan menyelaraskan usaha penghantaran makanan dan minuman, doktor serta pakar psikologi bagi membantu kelasi-kelasi berkenaan meneruskan kehidupan seharian mereka.

Mereka juga akan mengendalikan kutipan derma untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.

"Satu mesyuarat bersama pelbagai pihak terbabit yang dipengerusikan oleh Jabatan Laut akan diadakan Jumaat ini.

"Fokus utama kami adalah untuk nmengeluarkan mereka daripada kapal tersebut.

"SUHAKAM menyasarkan tempoh maksimum dua minggu untuk membebaskan mereka kerana mereka hanya ingin keluar dari situ," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SUHAKAM di sini, Selasa.

Laporan eksklusif The Star pada Selasa mendedahkan 13 rakyat Bangladesh serta dua warga Indonesia yang merupakan kelasi kapal malang itu terpaksa hidup dengan hanya memakan beras, sayuran dan kacang dal sepanjang berada di atas kapal berkenaan.

Mereka juga terpaksa tidur di atas dek terbuka kapal tersebut sejak ia berlabuh di pelabuhan Northport pada 4 Mei tahun lalu kerana suasana di dalam perut kapal tersangat panas di sebabkan bekalan elektrik telah terputus untuk mereka menggunakan kipas atau penghawa dingin.

Keadaan yang menyedihkan di atas kapal MV Banga Biraj itu menyebabkan salah seorang daripada anak kapal berkenaan cuba membunuh diri sementara seorang lagi mendakwa isterinya di Dhaka telah mengancam untuk meninggalkannya.

Anak kapal yang terdesak itu terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan Malaysia kerana mereka sangat keletihan dan sudah tidak mampu menanggung kesengsaraan mental yang dahsyat atas apa yang berlaku ke atas mereka.

Lebih memburukkan keadaan adalah apabila, semua anak kapal tidak menerima gaji sejak lapan bulan yang lalu.

Kapal mereka terlibat dalam satu pertikaian undang-undang yang tidak menemui jalan perdamaian selepas terlibat dengan satu kemalangan di Northport.

Susulan laporan The Star itu, James pada pagi Selasa mengetuai satu rombongan SUHAKAM bersama wartawan-wartawan The Star untuk meninjau keadaan anak-anak kapal tersebut.

Menurut beliau, ahli-ahli kelasi itu tidak akan menghadapi situasi sedemikian sekiranya majikan mereka menukar ganti pekerja di atas kapal tersebut.

Jelasnya, kesemua mereka tidak dapat dibawa keluar secara serentak kerana sekurang-kurangnya enam kelasi diperlukan untuk mengawasi kapal.

"Syarikat perkapalan itu perlu menghantar enam kelasi baru untuk menggantikan mereka yang telah terkandas lebih setahun," katanya.

Dalam pada itu, James memberitahu, pihaknya akan turut mendapatkan khidmat guaman kepada mereka sekiranya ingin melakukan saman sivil terhadap majikan mereka.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap perbincangan tidak akan berakhir di mahkamah.

Memandangkan kes sedemikian masih baru dalam rekod SUHAKAM, James berkata, pihaknya masih meneliti undang-undang maritim untuk menegakkan hak mangsa-mangsa seperti tunggakan gaji berbulan-bulan dan sebagainya.

Artikel Lain