suria

PGM Tahan 105 Pendatang Asing Dekat Perairan Kota Tinggi

JOHOR BAHARU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan 105 pendatang asing tanpa izin rakyat Indonesia yang cuba menyusup keluar dari negara ini dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca di perairan Pantai Ladang Kurnia, Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, Selasa.

Timbalan Komander PGM Wilayah Dua Supritendan N. Kalai Chelvan berkata bot itu dikesan oleh anggota PGM kira-kira 4.30 pagi ketika sedang membuat rondaan di kawasan perairan berkenaan.

"Bot tersebut memecut laju apabila dihampiri bot ronda PGM sebelum akhirnya berjaya ditahan kira-kira setengah jam kemudian. Tekong bot tersebut, bagaimanapun, gagal ditahan selepas bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya di sini, Rabu. Kalai Chelvan berkata pemeriksaan di dalam bot itu menemui 89 lelaki dan 16 wanita yang kesemuanya berumur 19 hingga 48 tahun.

Beliau berkata kesemua mereka mengaku dalam perjalanan keluar dari negara ini untuk pulang ke Indonesia.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen (Pindaan) 2002 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan keluar dari negara ini melalui pangkalan yang tidak diwartakan.

PGM katanya turut merampas bot berukuran 14 x 4 meter dengan empat enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain