suria

KPN: Kereta Peronda Bertindak Kurang 12 Minit

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mahu tempoh bertindak kereta peronda polis dipercepatkan daripada masa yang ditetapkan sekarang iaitu tidak melebihi 12 minit.

Sebagai contoh, katanya, masa bertindak sesebuah kereta peronda yang berada dalam satu kilometer daripada tempat kejadian perlu sampai ke lokasi tidak melebihi empat minit daripada masa laporan diterima.

"Ini adalah satu cabaran yang boleh jadi kenyataan. Ianya tidak mustahil untuk dicapai, jika ada kesungguhan dan komitmen anggota-anggota PDRM (Polis DiRaja Malaysia) yang diamanahkan untuk menjalankan tugas tersebut," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan 10 kereta Proton Inspira oleh Proton Holdings Bhd kepada polis, di sini.

Sambil menghargai sumbangan Proton untuk kereta Inspira 1.8 liter manual sebagai kereta peronda (MPV), Ismail berkata keperluan logistik iaitu kereta peronda adalah penting bagi melaksanakan tugasan harian polis dengan cepat, berkesan dan efisien kerana ia merupakan barisan hadapan PDRM.

Ismail berkata jumlah MPV yang mencukupi sangat penting kerana faktor ini boleh meningkatkan kehadiran polis di sesuatu tempat bagi meningkatkan keberkesanan mencegah jenayah serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata Proton telah menjalin kerjasama dengan PDRM sejak 1985 lagi bermula dengan model Proton Saga yang dijadikan kereta peronda dan sehingga kini sebanyak 3,752 model kereta Proton telah digunakan di seluruh negara sebagai kereta peronda.

Proton dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PDRM telah bekerjasama di dalam menghasilkan prototaip kereta peronda polis yang diubah suai daripada Proton Inspira, katanya.

"Program ini dijalankan setelah mengambil kira keperluan PDRM untuk menggantikan 3,647 buah kereta peronda yang telah mencapai had usia penggantian yang diperoleh sejak 2006," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ismail berkata PDRM memiliki pemandu-pemandu mahir yang memerlukan kereta setanding bagi "menakutkan" penjenayah-penjenayah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Proton Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata bukan PDRM sahaja menggunakan kereta Proton sebaliknya pasukan polis di Australia juga menggunakan Satria GTi dan pasukan polis di United Kingdom menggunakan Satria GTI dan Waja sebagai kereta peronda mereka.

Beliau berkata nilai kereta peronda Inspira itu ialah antara RM150,000 ke RM160,000 seunit yang dilengkapi dengan kelengkapan komunikasi dan beberapa peralatan tambahan yang diperlukan polis berbanding harga asas kereta Inspira di sekitar RM70,000 seunit.

Syed Zainal Abidin berkata Proton dan PDRM juga telah bekerjasama sejak 18 bulan lepas bagi membina kereta peronda prototaip untuk kegunaan PDRM.

Kos asas pembinaan sebuah prototaip itu ialah RM100,000 dan tambahan kira-kira RM30,000 bagi peralatan, katanya.

Antara ciri-ciri prototaip itu ialah sistem perhubungan, siren dan lampu serta penggunaan bahan polikarbonat yang digunakan bagi mengasingkan tempat duduk hadapan dengan belakang yang lazimnya diduduki suspek penjenayah yang ditahan.

"Kami bersedia untuk pengeluaran besar-besaran (prototaip)," katanya.

Dalam pada itu, Ismail yang pada sidang media itu turut ditanya mengenai kes video yang pelakunya mirip pemimpin pembangkang berkata beliau percaya pihak Peguam Negara telah meneliti laporan siasatan kes video itu. - BERNAMA

Artikel Lain