suria

Kos Bedah Siasat Kedua Perlu Ditanggung Keluarga

SHAH ALAM: Keluarga Mohamed Johari Abu Bakar yang mati dipercayai akibat ditembak oleh polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun kenderaan mewah perlu menjelaskan sendiri kos pembedahan, sekiranya mahu bedah siasat kedua dilakukan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan yang difailkan oleh ibu Mohamed Johari, Salmah Mohamed Shariff, 41, yang curiga dengan kematian anaknya.

Permohonan itu difailkan pada 19 Mei lalu menerusi peguam N. Surendran dengan menamakan tiga responden iaitu, Ketua Balai Polis Dengkil, Ketua Polis Daerah Sepang dan Ketua Polis Negara.

Salmah memfailkan permohonan agar bedah siasat kedua dilakukan oleh seorang patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kehadiran seorang pemantau yang bebas dan berkelayakan.

Pada 13 Mei lalu, Mohamed Johari, 17, mati dikatakan akibat ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil, dekat sini pada 13 Mei lalu.

Dia yang dipercayai tidak meneruskan persekolahan selepas kematian ayahnya pada tahun 2009 dikatakan baru sahaja keluar dari hotel sebelum memasuki sebuah MPV yang diletakkan di belakang hotel berkenaan.

Bagaimanapun, Salmah mendakwa terdapat kesan patah pada tangan Mohamed Johari yang tidak konsisten dengan kejadian tembakan.

Jenazah Mohamed Johari masih berada di rumah mayat Hospital Serdang, dekat sini.

Pada prosiding Rabu, Surendran menghujahkan permohonan tersebut difailkan kerana pemohon tidak gembira dengan bedah siasat pertama yang telah dilakukan oleh Pakar Perunding Kanan Patalogi dan Forensik, Dr Abdul Karim Tajuddin dari Hospital Serdang, dekat sini.

Bagaimanapun, ketika ditanya oleh Mohtarudin, Surendran mengakui pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat tersebut.

Sehubungan itu, Mohtarudin berkata: "Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengkebumikan jenazah secepat mungkin kerana lagi lama tidak dikembumikan, mayat akan berada dalam keseksaan.

"Jika ada laporan bedah siasat dan kamu tidak berpuas hati, saya boleh lihat ada asas kepada permohonan ini. Tapi, dalam kes ini, laporan bedah siasat tiada."

Surendran kemudiannya berkata, keluarga Mohamed Johari turut berada dalam keadaan dilema kerana mereka juga mahu urusan pengkebumian dilakukan dengan segera, tetapi bimbang akan kehilangan bukti jika jenazah dikebumikan.

"Responden gagal untuk berkomunikasi dengan pemohon berhubung isu bedah siasat pertama menyebabkan mereka curiga ada motif disebaliknya," kata Surendran.

Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Azari Harun yang mewakili semua responden menghujahkan arahan agar bedah siasat kedua dilakukan hanya boleh dikeluarkan oleh seseorang majistret.

"Tetapi sekiranya pemohon masih mahu agar bedah siasat kedua dilakukan, ia boleh dilakukan menerusi permohonan semakan kehakiman, dan bukannya melalui permohonan jenayah seperti ini," katanya.

Tambah Azari, pihaknya tidak mempunyai bantahan sekiranya pemohon berhasrat untuk melakukan bedah siasat itu di sebuah hospital swasta dan menanggung kos pembedahan.

Menjawab hujahan tersebut, Surendran berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan kos yang terlibat, tetapi menghadapi masalah dalam mencari seorang patologi forensik.

"Tidak ada patologi forensik dari hospital swasta yang sanggup membuat bedah siasat dan hospital yang sanggup melakukannya adalah PPUM, iaitu separuh swasta.

"Hanya ada dua cara bedah siasat boleh dilakukan iaitu pertama dengan keizinan polis yang mana dalam kes ini tiada izin dikeluarkan atas alasan yang hanya diketahui mereka dan kedua menerusi izin daripada mahkamah," kata Surendran.

Artikel Lain