suria

Kementerian Kesihatan Terima Banyak Panggilan Kecemasan Palsu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merupakan agensi kerajaan paling tinggi menerima panggilan palsu untuk talian kecemasan 999 berbanding agensi kerajaan lain seperti polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang diterima daripada Telekom Malaysia iaitu badan yang mengkoordinasikan talian kecemasan di negara ini, daripada 22.92 juta panggilan kecemasan yang diterima dari Januari tahun lepas sehingga April tahun ini, secara purata sejumlah 64.75 peratus daripadanya merupakan panggilan palsu untuk Kementerian Kesihatan.

"Ini merupakan suatu angka yang amat membimbangkan. Sungguhpun kerajaan telah mewujudkan hukuman melalui undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mekanisme tersebut nampaknya masih belum cukup untuk menyedarkan orang ramai bahawa tindakan berkenaan adalah salah di sisi undang-undang," katanya ketika merasmikan Hari Kesedaran Kecemasan di Hospital Sungai Buloh dekat sini Rabu.

Pameran itu yang bertemakan "Kenali Kecemasan, Nyawa Diutamakan" antara lain bertujuan memberi pengenalan mengenai skop perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma kepada orang ramai.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Khalid Ibrahim serta Ketua Perkhidmatan Kecemasan Kebangsaan merangkap Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Dr Sabariah Faizah Jamaluddin.

Rosnah berkata di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, individu yang didapati bersalah menyalahgunakan talian kecemasan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan setahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas mengenai jumlah pesakit yang mendapat rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan, Rosnah berkata untuk rekod seramai 5,706,468 juta orang telah mendawat rawatan pada 2008 dengan 50 peratus daripada jumlah tersebut diklasifikasikan sebagai kes bukan kecemasan.

"Maka adalah amat penting untuk seluruh masyarakat memahami definisi kes-kes kecemasan yang dimaksudkan dan memberi keprihatinan kepada pesakit yang memerlukan rawatan yang segera supaya pesakit kritikal seperti serangan jantung atau kecederaan serius mendapatkan rawatan secepat mungkin.

"Ini akan mengelakkan penyalahgunaan Jabatan Kecemasan dan seterusnya memberikan perkhidmatan ini (kecemasan) terhadap pesakit-pesakit yang benar-benar memerlukannya," katanya.

Sementara itu Rosnah berkata Skim 1Care yang merupakan program integrasi sistem penjagaan kesihatan antara pihak kerajaan dengan swasta akan dilaksanakan selewat-lewatnya menjelang 2020.

"Kita masih mengkaji menerusi tahap 1 untuk kajian 1Care dan kita harus melalui empat tahap termasuklah `opinion of the public' pun kita akan dapatkan. Perbincangan antara public and private (company) pun kita akan laksanakan yang sedang dilakukan," katanya sambil memberi jaminan skim berkenaan akan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang mengutamakan rakyat.

Skim berkenaan yang mengambil contoh model kesihatan dari United Kingdom merupakan antara cadangan kerajaan dalam usaha menangani kos rawatan yang semakin meningkat bagi memberi kemudahan kesihatan terbaik kepada penduduk yang kurang berkemampuan di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain