suria

Didenda Kerana Miliki Bahan Masakan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu am diarahkan untuk menjelaskan denda RM2,500 setelah mengaku bersalah memiliki bahan masakan milik kerajaan seperti beras, ikan kembung dan bawal serta pelbagai jenis sayuran.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Hafizza Sauni selepas menerima pengakuan salah tertuduh, A. Ennasidass, 49, pada Rabu.

Beliau juga memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Ennasidass didakwa memiliki bahan masakan iaitu seguni dan dua kampit beras, 28 ekor ikan kembung, ikan bawal hitam (39), sayur labu air (5), lobak putih (12) dan terung (7) yang semuanya berharga RM250.

Semua bahan tersebut adalah milik Wisma Bintara, Pangkalan Udara Kuala Lumpur, di sini dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 9.30 malam, 7 Mei lalu.

Bahan masakan tersebut ditemui di dalam kereta Kancil yang dipandu oleh tertuduh selepas dia ditahan oleh pengawal keselamatan di pintu masuk pangkalan udara terbabit.

Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili oleh peguam Ahmad Ridza Mohd Noh merayu agar mahkamah mepertimbangkan kedudukan anak gaumnya yang merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Tertuduh mempunyai dua orang anak dan isterinya tidak bekerja," kata Ahmad Ridza.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Zulkifli Osman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Artikel Lain