suria

Warga Emas Lepas Dan Bebas Daripada Tuduhan Peras Ugut Seorang Peniaga

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa daripada tuduhan memeras ugut seorang peniaga pasar malam, dua tahun lepas.

Majistret Parvin Hamidah Natchiar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Daood Gulam Mohideen Sha Jahan di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Daood Gulam, 57, yang bekerja sebagai peniaga di pasar malam didakwa melakukan pemerasan ugut ke atas Yap Foo Kwee, 39, dengan meminta bayaran sebanyak RM5,000 bagi membolehkan Daood Gulam mengambil semula petak berniaga No 21 dan No 20 di pasar malam Taman Sri Bintang Kepong, Sentul pada pukul 7.30 malam, 20 Jun 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Oii Chean Ling mengemukakan sembilan saksi manakala tertuduh diwakili peguam Lim Lip Eng. - BERNAMA

Artikel Lain