suria

Tragedi Tanah Runtuh: Kerajaan Akan Bina Semula Rumah Anak Yatim

KAJANG: Kerajaan Persekutuan bersedia membina semula Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh mengorbankan 16 nyawa pada Sabtu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kerajaan Pusat akan mengenal pasti lokasi yang sesuai dan selamat diduduki untuk membina semula rumah berkenaan dalam masa terdekat.

"Kerajaan Pusat akan bagi sumbangan ke arah membina semula rumah anak-anak yatim ini.

"Bagaimanapun kita akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari lokasi yang sesuai kerana soal tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi runtuhan berkenaan pada Selasa.

Sebelum itu Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Pusat berjumlah RM10,000 kepada setiap 16 waris mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Turut sama dalam tinjauan berkenaan ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain itu, Rosmah yang juga Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) turut memberi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap waris mangsa.

Turut sama menghulurkan sumbangan ialah Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) yang menyumbang sebanyak RM10,000 manakala sejumlah RM42,000 diberikan oleh Yayasan Taqwa Majlis Islam Wilayah Persekutuan kepada rumah kebajikan itu.

Artikel Lain