suria

Permohonan Bedah Siasat Kedua Mangsa Ditembak Polis Didengar Rabu

SHAH ALAM: Permohonan bedah siasat kali kedua yang difailkan oleh keluarga Mohamad Johari Abu Bakar yang mati dipercayai akibat dikatakan ditembak oleh polis selepas disyaki terlibat dengan geng samun kenderaan mewah di sebuah hotel bajet akan didengar pada Rabu.

Penolong Pendaftar Kanan, Mahkamah Tinggi di sini, Khairul Nizam Abu Bakar pada Selasa, menetapkan permohonan tersebut didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Peguam N. Surendran yang mewakili keluarga Mohamad Johari berkata, ibu Mohamed Johari, Salmah Mohamed Shariff, 41, memfailkan permohonan itu pada 19 Mei lalu.

Selaku pemohon, dia menamakan tiga responden iaitu, Ketua Balai Polis Dengkil, Ketua Polis Daerah Sepang dan Ketua Polis Negara.

Permohonan itu difailkan selepas Mohamed Johari, 17, mati dikatakan akibat ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil, dekat sini pada 13 Mei lalu.

Dia yang dipercayai tidak meneruskan persekolahan selepas kematian ayahnya pada tahun 2009 dikatakan baru sahaja keluar dari hotel sebelum memasuki sebuah MPV yang diletakkan di belakang hotel berkenaan.

Jenazah Mohamed Johari masih berada di rumah mayat Hospital Serdang, dekat sini.

Berdasarkan notis usul permohonan Salmah, dia memohon agar bedah siasat itu dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kehadiran seorang pemantau yang bebas dan berkelayakan.

Semasa ditemui, Surendran juga memberitahu, keluarga Mohamed Johari curiga dengan sebab kematiannya kerana terdapat kesan patah pada tangannya yang tidak konsisten dengan akibat ditembak.

"Pihak keluarga juga tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat pertama yang dilakukan oleh Pakar Perunding Kanan Patalogi dan Forensik, Dr Abdul Karim Tajuddin.

"Dr Abdul Karim juga melakukan bedah siasat terhadap mayat A. Kugan (juga suspek curi kereta) dan saya telah membuat aduan terhadap beliau, tetapi sehingga kini masih tiada tindakan," katanya.

Selain itu, Surendran juga berkata, pihaknya mengambil berat terhadap kejadian yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa remaja, seperti yang berlaku kepada Mohamed Johari, AminulRasyid Amzah dan A. Kugan.

Artikel Lain