suria

Lelaki Warga Emas Maut Dilanggar Suspek Yang Dikejar Polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh seorang lelaki yang dikejar polis dalam satu kejadian di Sungai Besi di sini tiga hari lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, dua anggota polis MPV Evo pada mulanya bertembung dengan sebuah kereta Proton Putra yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Perhubungan Awam Polis Kuala Lumpur Asisten Supritendan (ASP) Suffian Sulaiman dalam satu kenyataan berkata polis kemudiannya mengekori kereta tersebut sehingga susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) yang menghala ke Bandar Tasik Selatan.

"Apabila anggota polis telah membunyikan siren untuk memberhentikan kereta yang dipandu suspek, tiba-tiba kereta tersebut membuat pusingan dan menentang arus.

"Kereta suspek kemudiannya telah melanggar sebuah motosikal dan keluar dari kereta yang dipandu untuk melarikan diri dari tempat kejadian bagaimanapun suspek berjaya ditangkap," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di badan suspek menemui satu paket disyaki ganja seberat 11.63 gram dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kesalahan cabul.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner (ACP) Mohan Singh ketika dihubungi berkata suspek yang bekerja sebagai pekerja barang lusuh ditahan tidak jauh dari lokasi kemalangan.

"Suspek juga disahkan positif dadah dan telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, penunggang motosikal itu, Yip Yoon Kong, 51, maut di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain