suria

Kilang Plat Musnah Dalam Kebakaran

BUTTERWORTH: Sebuah kilang membuat plat yang terletak di lot 131, Lorong Perusahaan 6A di sini musnah dalam kebakaran pada 12.35 pagi Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri Mohd Razam Taja Rahim berkata kebakaran dipercayai berlaku selepas salah sebuah alat pemanas yang berada di bahagian luar kilang itu meletup dan terbakar sebelum merebak ke bangunan kilang.

"Difahamkan, kilang itu membuat kerja-kerja 'chrome plating' dan kebakaran bermula daripada satu letupan dipercayai berpunca oleh pemanas di luar bangunan dan merebak ke dalam melalui saluran berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tujuh jentera dengan 52 anggota Bomba dari Perai, Bukit Mertajam, Perda, Butterworth dan Jalan Perak tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kebakaran itu.

Katanya ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan memusnahkan 30 peratus bahagian kilang.

"Kita mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan kerana semua pekerja telah tamat kerja sejam sebelum kejadian itu," katanya.

Mohd Razam berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. - BERNAMA

Artikel Lain