suria

UUM Masih Harap Rebat Cukai Tanah Disambung

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) masih berharap kerajaan PAS Kedah menyambung semula rebat cukai tanah terhadap universiti itu.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata pihak universiti sangat berharap untuk mendapat keputusan yang positif selepas kerajaan negeri menerima surat rayuan daripada Kementerian Pengajian Tinggi memohon penyambungan semula rebat itu.

"Kementerian Pengajian Tinggi telah menghantar surat rayuan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri 13 Mei lepas dan kini kami menunggu untuk mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata jika penyambungan rebat itu diluluskan, lebihan wang yang sepatutnya diguna untuk membayar cukai tanah terbabit boleh diguna untuk program pembangunan penuntut universiti berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika ditemui di Alor Setar dekat sini, berkata buat masa ini UUM perlu menjelaskan bayaran penuh cukai tanah mereka sebanyak RM1.7 juta kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata selepas itu UUM boleh menghantar surat lagi kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri untuk memohon penyambungan semula rebat berkenaan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain