suria

Tiga Perkara Di Luar Kawalan Anda...

KES 1: PAGI Ahad yang sangat cerah, anda bangun pagi lalu teringinkan roti canai. Maka anda memandu ke kawasan mana lagi jika tidak Masjid India. Di sana ada banyak pilihan termasuklah teh tarik paling sedap di Malaysia.

Setibanya anda di sana, ketika anda sedang memandu masuk ke petak parkir milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di salah satu lorong di kawasan Masjid India itu, tiba-tiba anda didatangi seorang lelaki bertubuh sasa, wajah ala-ala gangster filem Tamil lalu meminta wang parkir kepada anda.

Anda tahu pada setiap Sabtu dan Ahad serta cuti umum, semua petak parkir milik Dewan Bandaraya adalah percuma. Tiba-tiba ada seorang lelaki sasa datang di sebelah anda lalu berkata; “Berapa lama...?” “Satu jam RM4, dua jam RM8 tapi sekarang kasi RM10...balik punya jam ada balance saya kasi balik.”

Pada mulanya anda berasa berbelah bahagi sama ada hendak bayar atau tidak kerana ini adalah petak letak kereta awam milik Bandaraya. Tetapi sebaik sahaja rasa terancam mencengkam diri anda dan anda memikirkan keselamatan kereta anda yang mungkin akan dicalarkan, dirosakkan atau di apa-apakan maka anda dengan segera akur.

Tanpa mahu merosakkan pagi Ahad anda itu dengan insiden berkenaan, anda pun menghabiskan pagi yang sangat indah itu dengan membalun mungkin dua atau tiga keping roti canai banjir (kuah dal dan kari) dan selepas itu memesan teh tarik (kurang manis) dan mungkin juga ais kosong dan selepas lebih kurang sejam sepuluh minit kemudian selepas kekenyangan menguasai diri dan selepas anda puas membelek helaian demi helaian akhbar hari minggu, anda pun terasa hendak mengangkat kaki lalu kembali ke kereta anda.

Ketika anda ingin membuka pintu kereta, anda teringatkan lelaki bertubuh sasa tadi kerana baki wang anda masih berada di tangannya. Tetapi belum pun anda sempat menjenguk di mana dia berada tiba-tiba anda dapati dia sudah pun berdiri di sebelah anda. “Berapa...” tanya anda. Dan sambil melihat jam di pergelanggan tangan kirinya, dengan menggerut dahi, dia dengan selamba berkata “RM8...”

“Eh! Tadi you kata satu jam RM4. Saya baru letak satu jam sepuluh minit...” “Ya betul! Tapi lebih dari satu jam sudah kira dua jam...RM8...” katanya tanpa bercakap lebih banyak lalu menghulurkan baki RM2 lagi.

Sekarang barulah anda tersedar mengapa pada awal tadi dia meminta RM10. Namun dia tidak pula menerangkan jika melebih sahaja satu jam walaupun baru sepuluh minit sudah dikira RM8. Adakah anda berani atau ada keberanian untuk melawan atau mempertikaikan kata-katanya tadi? Sudahlah petak letak kereta itu seharusnya percuma kerana ia adalah milik DBKL kini anda terasa tertipu ditindas oleh lelaki bertubuh sasa yang tidak bertauliah dan tidak berlesen mengutip bayaran parkir kereta daripada anda pada pagi Ahad yang sepatutnya percuma itu.

Apakah perasaan anda ketika itu? Apakah yang sebenarnya anda rasakan apabila ini berlaku? Apakah anda terasa diri anda dianiayai? Apakah anda terasa bahawa sebagai pembayar cukai, anda perlu dilindungi? Tetapi oleh siapa?

Ya! Siapa yang patut lindungi anda? Pegawai penguatkuasa? Ya! Di mana pegawai penguatkuasa? Tidakkah mereka ada inisiatif untuk membuat serbuan atau melindungi para pembayar cukai seperti anda daripada menjadi mangsa lelaki bertubuh sasa yang datang mengutip bayaran letak kereta mengikut sesuka hatinya?

Apakah penguatkuasa hanya bekerja lima hari sahaja seminggu? Tidakkah mereka juga sepertimana anggota polis perlu bertugas sepanjang masa untuk melindungi orang awam seperti anda dan kita semua?

Semua ini bermain di fikiran anda sepanjang hari tersebut. Maka akhirnya pagi Ahad anda yang sepatutnya ceria dan seronok bertukar dan berakhir dengan seribu satu macam pertanyaan yang merosakkan fikiran dan diri anda. Anda marah, anda geram, anda sakit hati tetapi terima sajalah kerana hakikatnya ialah ini semua adalah di luar kawalan anda...

*****

KES 2: SEBAIK sahaja selesai kerja pada lebih kurang jam 5.45 petang, anda memandu kereta ke satu kawasan deretan premis perniagaan untuk satu urusan peribadi. Tetapi anda dapati, anda tidak boleh mencari tempat letak kereta kerana petak parkir telah dikuasai oleh deretan meja-meja makan yang diletakkan oleh pemilik sebuah restoran di kawasan itu.

Bukan satu, bukan dua, bukan tiga dan bukan empat petak tetapi hampir keseluruhan petak parkir di situ telah disapunya untuk meja dan kerusi makan. Anda berasa marah dan mula naik angin. Anda membebel dengan seribu satu sumpah seranah kerana restoran itu telah ‘mencuri’ tempat letak kereta yang disediakan untuk orang seperti anda tetapi apakah yang boleh anda buat? Anda hendak jadi hero dengan memaki tauke restoran itu? Agak-agaknya siapa yang akan mendengar suara anda? Balik rumah dan terima sajalah...Anda tidak terdaya kerana itu adalah di luar kawalan anda.

*****

KES 3: Suatu hari kereta anda rosak. Anda terpaksa menaiki teksi. Untuk sekian lamanya (iaitu bertahun-tahun) anda tidak pernah menaiki teksi. Kali terakhir anda menaiki teksi ialah ketika caj meter permulaan teksi hanya RM1.70. Tetapi kini anda terpaksa bergantung kepada teksi untuk ke destinasi pilihan anda. Sebenarnya tidak jauh pun destinasi anda cuma lebih kurang lima kilometer dari tempat anda menunggu teksi.

Hari sudah jauh malam dan keadaan agak gelap. Tiba-tiba lalu sebuah teksi berwarna biru. Anda berasa was-was iaitu tidak pasti sama ada hendak menahan atau tidak kerana setahu anda teksi berwarna merah dan putih. Tetapi teksi ini berwarna biru. Tetapi kerana hari sudah malam dan anda hendak bergegas maka anda pun mengikut gerak hati lalu menahan teksi tersebut.

Teksi itu berhenti. Sekali pandang anda berasa hairan kerana teksi itu bukan sahaja kelihatan cantik dan baru tetapi juga besar dari biasa. Maka diri anda tertanya-tanya betul ke aku menahan sebuah teksi atau apakah ini sebuah limosin. Tetapi oleh kerana anda sudah melabuh masuk ke dalam teksi anda teruskan juga niat hati anda untuk ke destinasi pilihan dan memendam rasa ragu-ragu tadi.

Sebaik sahaja berada di dalam teksi berkenaan, mata anda terpandang kepada meter. Ini adalah reaksi atau tindak balas yang natural kerana sifat ingin tahu anda menjadi semakin menebal kerana anda telah bertahun-tahun tidak menaiki teksi. Dan anda terkejut beruk. Ya! terkejut beruk kerana melihat caj automatik permulaan meter sudah tertera angka RM6. “Mak Aih! Apa ni...” demikian kata gerak hati anda. Tetapi sekali lagi ia adalah reaksi spontan kerana anda terkejut. Anda sebenarnya tidak ada pilihan kerana ia bukanlah sesuatu di dalam kawalan anda.

Setelah pemandu itu dengan penuh sopan santun bertanya ke manakah destinasi anda maka teksi itu pun bergerak dalam kelajuan yang sederhana. Tidak terburu-buru dan tidak juga cuai. Tetapi kejutan pertama yang anda terima tadi tidak sama sekali menghalang anda daripada terkena kejutan yang kedua. Setiap 10 saat, sama ada teksi itu bergerak atau tidak, angka pada meter itu tetap bergerak iaitu 20 sen dan 20 sen dan 20 sen dan 20 sen tanpa gagal.

Dalam sekelip mata sahaja malah mata anda tidak berpeluang untuk berkelip pun, anda dapati angka pada meter itu bergerak laju bagaikan mesin slot sepertimana yang pernah anda saksikan dalam filem Ocean Eleven tidak berapa lama dahulu. Anda seperti terasa hendak terjun keluar dari teksi yang serba baru dan selesa itu tetapi anda sama ada tidak mampu berbuat demikian kerana teksi itu sedang bergerak atau kerana anda berasa malu dengan pemandu teksi itu.

Maka anda memendam perasaan anda sehinggalah teksi itu tiba di pekarangan destinasi anda. Sebelum anda turun dan mencapai beg duit di belakang kocek saku anda, anda seperti tidak berani untuk memandang angka terakhir yang tertera di skrin meter teksi itu. Tetapi anda tidak ada pilihan. Anda terpaksa kerana anda perlu turun dari teksi itu sekarang.

Sebaik sahaja anda melangkah keluar, anda seperti hendak menangis. Tetapi sekali lagi anda pendam perasaan itu. Anda berkata kepada diri sendiri, mungkin ini adalah realiti menaiki teksi pada masa ini. Maklumlah sudah bertahun-tahun lamanya anda tidak menaiki teksi. Anda terasa seolah-olah anda terperangkap di era caj permulaan hanya RM1.70 sedangkan zaman itu telah berlalu.

Bila pintu rumah anda dibuka dan anda menceritakan pengalaman baru itu kepada isteri anda, maka akhirnya barulah anda sedar bahawa teksi yang anda naiki itu adalah teksi eksekutif iaitu teksi masa depan yang bakal mengantikan teksi biasa yang pernah anda naik suatu ketika dahulu. Tetapi isteri anda mengingatkan anda bahawa anda tidak ada pilihan kerana ia adalah di luar kawalan anda...

Artikel Berikut

Artikel Lain