suria

Selangor Lancar Operasi Pemutihan Rumah Perlindungan, Kebajikan

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan menjalankan operasi pemutihan rumah-rumah perlindungan dan kebajikan yang terdapat di seluruh negeri selama tiga bulan dalam usaha memastikan status premis terbabit dan lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan negeri, Rodziah Ismail berkata, surat arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah akan dikeluarkan untuk mengenal pasti kewujudan dan lokasi rumah-rumah perlindungan serta kebajikan yang terdapat di negeri ini.

Katanya, rumah-rumah tersebut termasuklah rumah anak yatim, rumah orang tua, rumah orang kelainan upaya (OKU), rumah ibu tunggal dan lain-lain rumah perlindungan dalam kategori kebajikan.

"Operasi itu dikenali sebagai Operasi Selangor Prihatin Masyarakat’ (OPS SELAMAT), kita akan memeriksa sama ada semua rumah ini benar-benar mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Peraturan tersebut termasuklah memiliki lesen-lesen khas seperti lesen premis dan layak menduduki (CF) yang dikeluarkan oleh PBT, lesen perniagaan daripada Pendaftar Perniagaan dan lesen operasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika kita dapati masih ada rumah-rumah ini yang tidak memiliki lesen-lesen berkenaan, mereka diminta supaya segera berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Sabtu lalu 16 orang terkorban manakala sembilan yang lain cedera dalam kejadian tanah runtuh yang turut memusnahkan sebahagian Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dekat sini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mewujudkan Pusat Sehenti bertujuan mengkoordinasi pengeluaran lesen-lesen yang dikeluarkan oleh PBT, Pendaftar Pertubuhan dan JKM sebelum diberikan kelulusan kepada pihak yang memohon.

"Kerajaan Selangor memandang serius isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat, saya menggesa semua pihak tidak kira pengusaha rumah-rumah penjagaan, perlindungan atau anak-anak yatim juga rumah kediaman persendirian memastikan keselamatan kediaman masing-masing agar tiada lagi nyawa yang terkorban disebabkan kelalaian dan tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan," ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain