suria

Sebabkan Kematian Jurugambar: Lima Dihukum Penjara

SHAH ALAM: Seorang remaja bakal meringkuk di penjara selama 13 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang jurugambar yang berhutang.

Remaja terbabit yang kini berusia 22 tahun mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa, G. Nethyananthan empat tahun lalu, iaitu semasa dia hanya berusia 17 tahun dan enam bulan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, Datuk Siti Mariah Ahmad turut menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun terhadap empat rakan tertuduh, yang mengaku salah melakukan perbuatan sama.

Mereka yang dihukum ialah G. Satiaraj, 24, R. Gunasegaran, 23, M. Sattian, 25, dan seorang remaja berusia 22 tahun.

Hukuman tersebut diarahkan bermula daripada tarikh tangkap, iaitu antara 29 April dan 11 Mei 2007.

Pada penghakimannya, Siti Mariah berkata, hukuman tersebut dijatuhkan dengan mengambil kira peranan tertuduh dalam jenayah tersebut, selain faktor usia mereka yang masih muda.

"Mahkamah maklum bahawa kesalahan yang dilakukan adalah serius, daripada tujuan asal mahu mengertak mangsa untuk memulangkan wang telah berakhir dengan kematiannya.

"Mahkamah juga mempertimbangkan bahawa tertuduh datang daripada keluarga yang susah, berpendidikan rendah dan telah mula bekerja sejak kecil.

"Hukuman penjara yang panjang akan memberi kesan kepada keluarga tertuduh kerana mereka akan kehilangan sumbangan kewangan," katanya.

Siti Mariah juga berpendapat, hukuman penjara yang panjang akan menyukarkan tertuduh untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

"Gunakan peluang di dalam penjara untuk mempelajari apa sahaja kursus kemahiran yang sesuai sebelum keluar daripada penjara," katanya.

Kesemua mereka mengaku bersalah menyebabkan kematian Nethyananthan, 29, pada antara pukul 8.30 malam, 26 April 2007 dan pukul 1 petang, keesokan harinya di Taman Sungai Kapar Indah, Klang, dekat sini.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditahan semasa dia dan teman wanitanya yang sedang menguruskan hal perkahwinan di kedai pakaian di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Mereka dibawa ke Batu 7, Jalan Kapar sebelum dibawa ke tempat kejadian dan dipukul dengan menggunakan tangan, kayu dan tali pinggang dalam keadaan tangan mangsa diikat.

Mangsa kemudiannya dipindahkan ke kawasan hutan dan semasa itu, teman wanitanya melihat mangsa dalam keadaan tenat termasuk berdarah pada hidung dan muka bengkak.

Remaja yang meminjamkan duit itu kemudiannya mengambil kad pengeluaran wang automatik (ATM) mangsa beserta nombor pin dan mengeluarkan wang yang digunakan untuk membeli rokok, air dan roti.

Teman wanita mangsa kemudiannya mendengar Sattian menghubungi remaja terbabit memberitahu mangsa telah meninggal dunia dan dia bersama Gunasegaran menutup mayat dengan pelepah kelapa sawit.

Mayat mangsa kemudiannya ditanam di kawasan industri Kapar Indah dan mereka memberi amaran kepada teman wanita mangsa untuk tidak membuat laporan polis.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepada akibat hentakan objek tumpul.

Artikel Berikut

Artikel Lain