suria

Jangan Pentingkan Jawatan Parti Tapi Kalah Pilihan Raya: Shafie

SUNGAI SIPUT: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin yang mementingkan jawatan dalam parti bahawa mereka hanya akan jadi "pemimpin parti" yang jadi pembangkang semata-mata sekiranya mereka gagal mengukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Apa guna jadi jawatan besar dalam parti jika jadi pembangkang selepas pilihan raya, keutamaan sekarang adalah menguatkan parti, tambah anggota, jaga perpaduan," katanya berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sungai Siput di sini, Ahad.

Beliau berkata pimpinan parti memutuskan menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bagi mengelak masalah perebutan jawatan hingga menjejaskan persediaan menghadapi pilihan raya umum.

"Kita tidak mahu kerana rebut jawatan, Umno yang kecundang. Pengajaran lepas menunjukkan Umno menghadapi cabaran cukup sengit kerana berpecah, bukan kerana barisam pembangkang yang kuat," katanya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata keutamaan pemimpin dan anggota parti sekarang adalah untuk bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata Umno menghadapi situasi yang kritikal kerana akan berhadapan pembangkang yang begitu bersemangat dan berani memainkan isu kaum dan agama bagi meraih sokongan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain