suria

Calon Melayu DAP Tidak Mampu Perjuangkan Nasib Melayu

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berpendapat calon Melayu DAP yang bakal bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak mampu memperjuangkan nasib masyarakat Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu berkata, ini kerana DAP sendiri dilihat sebagai sebuah parti mengamalkan perkauman malah tidak memperjuangkan nasib masyarakat Melayu di negara ini.

"Ini hanya satu sandiwara DAP untuk menarik lebih ramai pengundi, siapa saja calon dia kata hendak letak, kita tengok jadi atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kawasan pekan Bukit Baru di sini, Isnin.

Mohd Ali berkata mungkin DAP meletakkan calon Melayu kerana tidak yakin rakan pembangkang mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS mampu menarik lebih ramai sokongan pengundi Melayu pada PRU-13 akan datang.

Katanya DAP selama ini hanya meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi masyarakat Cina dan parti itu dilihat takut untuk meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi masyarakat Melayu.

"DAP letak sesiapa sahaja calon tidak jadi masalah, ini negara demokrasi, kita (UMNO Melaka) bersedia menghadapi siapa sahaja DAP letak dan kita mampu menang pada pilihan raya (PRU-13) akan datang," katanya.

Semalam, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan rancangan DAP untuk meletakkan calon Melayu di beberapa negeri antaranya Melaka, Perak dan Negeri Sembilan pada PRU-13 akan datang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain