suria

Batal Lesen Jika Langgar Syarat: Noh Omar

SEPANG: Kerajaan tidak akan teragak-agak membatalkan lesen perikanan laut dalam syarikat yang melanggar syarat perlesenan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata pada 2008, kerajaan membuat dasar bahawa pemegang lesen yang dikeluarkan selepas tahun tersebut tidak dibenar menggunakan bot terpakai dari luar negara bagi mengelakkan kekeliruan kepada pihak berkuasa.

Noh diminta mengulas piket kira-kira 1,800 nelayan dan pemilik bot tempatan serta lebih 1,000 pemilik bot pelbagai jenis di Tanjung Api, Pahang semalam sebagai membantah operasi bot laut dalam di Zon C2 yang didakwa telah menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

Mereka mendakwa bot laut dalam terpakai yang diperoleh dari luar negara telah disalah guna pihak tertentu yang menyewakannya kepada nelayan asing, terutama Vietnam dan Thailand, untuk mengaut keuntungan mudah.

Noh juga berkata sebelum ini, kerajaan membenarkan bot yang dirampas daripada nelayan asing yang menceroboh perairan negara, dibeli nelayan tempatan menerusi proses lelongan.

"Saya dapat makluman bahawa bot-bot terpakai yang kebanyakannya dibeli oleh nelayan tempatan di Zon C2 ini boleh mengelirukan pihak berkuasa.

"Terdapat juga kemungkinan pemegang lesen sebelum 2008 yang melakukan kerja-kerja tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Sepang, Ahad.

Nelayan tempatan yang menyertai piket itu mendakwa hasil tangkapan di perairan Malaysia tidak didaratkan sepenuhnya oleh bot terbabit di kompleks atau jeti di negara ini, sebaliknya dibawa balik ke negara asal nelayan asing berkenaan.

Selain itu, nelayan asing terbabit juga didakwa mengambil kesempatan mendapatkan bekalan diesel subsidi hingga ke kuota maksimum iaitu 30,000 liter sebulan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain