suria

Tanah Runtuh: Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

KAJANG: Tanah bukit di kawasan belakang Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, iaitu lokasi kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa pernah berlaku pergerakan kecil dan runtuhan pasir.

Bagaimanapun jurucakap rumah anak yatim berkenaan, Roslan Othman, 69, berkata, runtuhan pasir berkenaan dianggap perkara biasa kerana ia berlaku beberapa kali terutama ketika hujan serta dinggap tidak berbahaya.

"Sebelum ini pun memang pernah runtuh, tapi hanya runtuhan pasir halus dan tanah.

"Kami anggap ia perkara biasa, bila jatuh (tanah) kami sapu dan bersihkan. Tidak pernah terfikir perkara begini (runtuhan besar) berlaku," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan orang Islam Dusun Naning di sini, Ahad.

Namun Roslan berkata, tragedi yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu yang melibatkan jumlah mangsa keseluruhan yang tertimbus seramai 25 orang adalah teruk dan begitu menyayat hati.

"Ini adalah tragedi yang teruk, saya tak kata ia paling teruk kerana ia pertama kali berlaku...jadi kita tak boleh buat perbandingan," katanya yang sudah berkhidmat sebagai sukarela di rumah anak yatim berkenaan selama lebih 10 tahun.

Dalam pada itu Pengetua Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Idris Musa ketika ditemui enggan mengulas mengenai tragedi berkenaan.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa, anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal).

"Tolong bagi saya masa untuk bertenang, harap anda faham," katanya ringkas.

Artikel Lain