suria

Tanah Runtuh: Kerajaan Peruntuk Bantuan RM10,000 Kepada Setiap Keluarga Mangsa

KAJANG: Kerajaan Persekutuan mengumumkan bantuan sejumlah RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia di Hulu Langat dekat sini.

Bantuan berkenaan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas melakukan tinjauan di tempat kejadian malam Sabtu.

"Selain itu segala keperluan dari segi pengkebumian akan ditanggung oleh kerajaan Pusat...kita akan biayai keperluan yang berkaitan.

"Kita juga akan menangani mengenai masalah keperluan rawatan kesihatan kepada mangsa yang terselamat," katanya ketika ditemui media.

Tambah beliau, usaha mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan sehingga kesemua mangsa yang dilaporkan hilang ditemui.

"Kerja-kerja ini tidak akan terhenti sehinggalah selesai semua bilangan mangsa ditemui sama ada mereka hidup ataupun meninggal dunia," katanya.

Sehingga berita ini ditulis, seramai 21 mangsa berjaya dikeluarkan dengan 12 daripadanya meninggal dunia.

Usaha menyelamat masih diteruskan bagi mencari empat lagi mangsa termasuk seorang dewasa.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, maklumat lengkap mengenai tragedi berkenaan akan diperolehi daripada pihak berwajib bagi mengetahui mengenai punca kejadian.

Artikel Lain