suria

Tanah Runtuh: Ibu Saudara Dzahir Terkilan

KAJANG: Ibu saudara kepada Dzahir Haziq, 17, salah seorang mangsa yang terbunuh dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat terkilan kerana tidak dapat melihat wajah arwah sebelum dikebumikan.

Zaiton Abdullah, adik bongsu kepada ibu arwah Dzahir berkata, beliau menerima berita kematian anak saudaranya itu pada Sabtu malam.

"Semalam baru saya dapat maklumat tentang kematian Dzahir, saya bergegas datang dari Terengganu ke sini, tapi terkilan tak dapat tengok arwah," katanya dalam keadaan sebak.

Zaiton berkata, beliau rapat dengan arwah sejak kecil dan menyifatkan Dzahir adalah seorang anak yang baik serta menghormati orang tua.

"Saya jaga Dzahir sejak dia dalam kandungan lagi, saya sendiri yang jaga ibunya ketika sedang mengandung.

"Sebab itu saya anggap Dzahir macam anak kandung sendiri...dia budak baik," katanya.

Zaiton tiba di Tanah Perkuburan Islam Dusun Naning kira-kita pukul 2.45 petang Ahad sewaktu kerja-kerja menimbus tanah liang lahad sedang dilakukakan.

Dzahir bersama enam mangsa lain dikebumikan dalam satu liang lahad.

Sementara sembilan lagi mangsa yang turut terkorban dalam tragedi berkenaan telah dituntut keluarga dan waris masing untuk diurus dan dikebumikan.

Dalam pada itu Zaiton berkata, kali terakhir beliau menemui Dzahir ialah pada Januari tahun ini sewaktu berkunjung ke rumah kelaurga arwah di Shah Alam.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang Sabtu, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Artikel Lain