suria

Lebuhraya Smart Di Jangka Buka Semula Isnin

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Smart yang ditutup kepada lalulintas sejak pukul 6.11 petang semalam, dijangka akan dibuka semula kepada pengguna seawal-awalnya malam Isnin, kata Ketua Pegawai Operasi Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd Mohd Fuad Kamal Ariffin.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi arahan supaya lebuhraya ditutup semalam berikutan pelepasan air banjir ke dalam takungan Terowong Smart.

"Kini kedua-dua dek atas dan bawah dipenuhi air banjir dan berdasarkan kepada maklumat, air akan berada di dalam sistem takungan Terowong Smart selama satu ke dua hari sehingga proses mengepam air keluar selesai," katanya.

Mohd Fuad berkata proses pembersihan kawasan lebuhraya itu dijangka bermula Isnin.

Untuk pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian bantuan SMART dengan menelefon 1-300-88-7188 atau layari laman web Smart di www.smarttunnel.com.my- BERNAMA

Artikel Lain