suria

Tekun Nasional Kumpul Bayaran Balik RM15 Juta Setahun

PUTRAJAYA: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional berjaya mengumpul semula kira-kira RM15 juta setahun bayaran pinjaman balik daripada peminjam tabung tersebut.

"Ia akan diguna semula sebagai pinjaman di samping peruntukan tahunan sebanyak RM200 juta setahun yang disediakan oleh kerajaan," kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan, Sabtu.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Seminar Keusahawanan di sini, Abdul Rahim berkata berkata peminjam-peminjam sekitar negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan melakukan tanggungjawab mereka dengan baik dalam membuat pembayaran.

Seminar itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO yang juga ahli parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata bermula pada tahun 1998 hingga akhir bulan April lalu, keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh Tekun Nasional kepada usahawan adalah sebanyak RM1.68 bilion dengan jumlah peminjam seramai 183,364 orang.

"Dalam tempoh sama, negeri Selangor merupakan penerima pembiayaan tertinggi iaitu berjumlah RM239.907 juta yang dikeluarkan kepada kira-kira 20,201 usahawan," katanya.

Sementara itu Tengku Adnan berkata bakal usahawan terutama di kawasan bandar harus mengambil peluang kemudahan yang disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini bagi memperbaiki tahap ekonomi masing-masing.

"Pembiayaan yang disediakan oleh Tekun ini sekiranya dimanfaatkan boleh mengurangkan kadar kemiskinan bandar yang sedang berlaku ketika ini,” katanya.

Malah katanya penjawat awam yang berpendapatan kurang dari RM2,000 dibolehkan mendapatkan pinjaman Tekun sebanyak RM5,000 bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pembiayaan Tekun Nasional boleh melayari laman sesawang www.tekun.gov.my atau hubungi talian 03 9058 8550 atau 03 9058 8999. - BERNAMA

Artikel Lain