suria

Perhatian Istimewa Diberikan Terhadap Pembangunan Di Kelantan, Kata Muhyiddin

BACHOK: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau memberi perhatian istimewa kepada Kelantan daripada segi pembangunan bagi memastikan rakyat yakin kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana Kelantan yang diperintah PAS selama 20 tahun dilihat kurang membangun dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata Kelantan perlu membangun sepertimana negeri-negeri lain selaras dengan hasrat kerajaan pusat untuk memartabatkan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Kita tidak mahu Kelantan ketinggalan di dalam arus pembangunan pesat dalam mentransformasikan ekonomi negara yang dirancang oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Malah, kita mahu Kelantan menerajui pembangunan yang pesat," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bachok, di sini Sabtu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, agar membuat perancangan pembangunan yang teliti untuk Kelantan termasuk aspek sosial, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata perancangan pembangunan itu seharusnya selari dengan rancangan kerajaan pusat dan ianya akan menjadi manifesto BN untuk Kelantan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, jika rakyat Kelantan memberi mandat kepada BN.

Justeru, beliau berkata satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan oleh Mustapa bagi merumuskan rancangan itu dan menurutnya rancangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diteliti sebelum dikemukakan kepada rakyat Kelantan.

Selain itu, Muhyiddin juga mengingatkan Umno Kelantan agar menyelesaikan segala masalah dalaman di peringkat bahagian dan cawangan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata masalah itu perlu diselesaikan segera agar tidak timbul rasa tidak puas hati di kalangan anggota kerana pilihan raya umum mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Muhyiddin berkata beliau akan kembali semula ke Kelantan untuk melihat secara terperinci keperluan rakyat bagi memastikan Umno berpeluang memenangi Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA

Artikel Lain