suria

Pemilihan PAS:Calon Diingatkan Patuhi Peraturan

KUALA LUMPUR: Semua calon yang bertanding pada pemilihan PAS awal bulan depan diingatkan supaya menjaga etika tatatertib sepanjang tempoh berkempen.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, setiap calon dibenarkan berkempen secara bebas tetapi mereka terikat dengan tatatertib yang termaktub dalam perlembagaan parti itu.

"Berdasarkan Fasal 82 tatatertib perlembagaan PAS, semua ahli perlu mengamalkan akhlak Islam dan mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Jelas beliau, jawatankuasa pemilih tidak terlibat dalam memantau etika semua calon ketika berkempen kerana tiada peraturan khusus mengenai perkara itu.

"Jika ada mana-mana calon melanggar disiplin, perkara itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib dan jawatankuasa PAS pusat.

"Mereka akan siasat jika ada bukti. Namun aduan mesti dikemukakan oleh parti, kawasan, cawangan atau dewan dan bukan dilakukan secara orang perseorangan," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada peraturan tatatertib akan diwujudkan andai ada calon yang melanggar disiplin, Abdul Halim berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian pada ketika ini memandangkan suasana kempen masih lagi tenang.

"Kita akan tengok kepada suasana. Kalau keadaan gawat, peraturan itu mungkin perlu diwujudkan. Buat masa ini, semua calon perlu mematuhi tatatertib dalam perlembagaan parti," tegasnya.

Sementara itu, Abdul Halim tetap mahu mengambil sikap berkecuali ketika ditanya mengenai jumlah pencalonan yang diperoleh kerana tidak mahu dilabelkan seolah-olah menyokong mana-mana calon.

"Saya sendiri tidak tahu berapa pencalonan yang diterima. Kalau anda nak tahu, anda boleh menghubungi calon... tapi sekretariat sudah menghantar surat tawaran kepada calon pada Selasa," ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini, hanya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi yang sudah menghantar surat memberitahu beliau menerima pencalonan itu.

"Sehingga hari ini, saya masih belum menerima surat penerimaan daripada calon yang bertanding untuk jawatanTimbalan Presiden dan Naib Presiden," katanya.

Artikel Lain