suria

Pembantu Rumah: Malaysia Harap Dapat Meterai MoU Dengan Indonesia Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap satu memorandum persefahaman (MoU), yang antara lain, akan membuka jalan kepada penarikan balik pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia oleh Jakarta, akan dapat ditanda tangani minggu depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam, berkata Kuala Lumpur telah mencadangkan tarikh untuk memeterai MoU itu dan kini menunggu pengesahan Jakarta mengenainya.

Beliau berkata kini Malaysia dalam peringkat akhir perbincangan dengan Indonesia berkaitan isu pembantu rumah.

"Jika semuanya beres, saya ingin memeterainya minggu depan," katanya kepada pemberita apabila ditanya tentang tarikh pemeteraian MoU itu. Terdahulu, Dr Subramaniam merasmikan Persidangan Kesusasteraan Islam Tamil Malaysia 2011 selama tiga hari di Universiti Malaya di sini Sabtu.

Satu pengumuman pada 21 Mac menyebut bahawa perjanjian itu akan ditanadatangani di Jakarta.

Berdasarkan jumlah majikan yang mendaftarkan diri dengan agensi pembekal pembantu rumah di negara ini, Malaysia memerlukan khidmat 35,000 pembantu rumah dengan segera.

Pada Jun 2009, Jakarta membekukan penghantaran pembantu rumah dari Indonesia ke Malaysia berikutan laporan kes penderaan oleh majikan dan ketiadaan kemudahan yang diberi kepada pembantu rumah seperti gaji minimum bulanan dan cuti mingguan.

Mengenai persidangan tersebut, Dr Subramaniam berkata ia dihadiri kira-kira 1,000 peserta, termasuk 400 dari India, Sri Lanka, Thailand, Singapura dn negara Teluk.

Kata beliau masyarakat India Muslim Malaysia memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara ini, termasuk dalam bidang politik, perniagaan, agama, bahasa dan kesusasteraan Tamil, di samping kesusasteraan Melayu.

Beliau mengaitkan kejayaan masyarakat itu dengan ketekunan, keikhlasan, disiplin dan integriti yang mereka miliki.

Katanya bagi memastikan bahasa dan kesusasteraan Tamil terus berkembang, generasi muda perlu digalakkan menyertainya, di samping penggunaan teknologi komuniksi maklumat (ICT). - BERNAMA

Artikel Lain