suria

Mayat Pelajar Lemas Di Pantai Kelanang Ditemui

BANTING: Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, yang lemas semasa menjaring ikan bersama bapanya di Pantai Kelanang petang Jumaat, ditemui berdekatan pantai itu pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan 1 di Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Banting Ahmad Fadzilla Tahir berkata mayat Mohd Adam Hafiz Abdul Rahman ditemui pihak bomba kira-kira 50 meter dari pantai itu pada 11 pagi.

Mayat bapanya Abdul Rahman Ammerijam, 39, ditemui seorang nelayan di perairan Tongkah, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian pada 7.30 malam semalam, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata bomba mendapat panggilan daripada orang awam pada 6.24 petang semalam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 30 minit kemudian.

Ahmad Fadzilla berkata kedua-dua beranak itu, yang menetap di Taman Sungai Emas di sini, mungkin tidak sedar air sedang pasang besar semasa sedang memasang jaring.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat, katanya.

Usaha mencari itu disertai lima anggota polis, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam, enam anggota Ikatan Relawan Rakyat, 12 anggota bomba termasuk enam penyelam sejak semalam. - BERNAMA

Artikel Lain