suria

KPKT Kaji Semula Penubuhan Pasukan Bomba Sukarela

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji semula penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negara ini bagi mengelak pertambahan jumlah pasukan yang terlalu banyak.

Menterinya Datuk Wira Chor Chee Heung berkata pihaknya tidak mahu pasukan itu ditubuhkan sewenang-wenangnya oleh masyarakat setempat sehingga ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Saya tidak mahu disebabkan ada masalah seperti perasaan tidak puas hati antara pemimpin dalam satu komuniti, mereka mahu menubuhkan pasukan bomba yang baru bertujuan lain dan bukan untuk tujuan membantu orang.

"Memang sebelum ini kita menggalakkan rakyat menubuhkan pasukan bomba sukarela, tetapi sekarang sudah tiba masa masanya untuk kita hadkan penubuhannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penyerahan Jentera Bomba kepada Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah, dekat sini Sabtu.

Katanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga perlu melakukan kajian menyeluruh dengan melihat jarak antara balai bomba sukarela, lokasi dan jumlah penduduk bagi membolehkan pasukan berkenaan dapat memberi perkhidmatan terbaik dalam membantu pihak JBPM.

Chor berkata kerajaan juga perlu bertanggungjawab memberi latihan, kelengkapan asas penyelamat, kenderaan dan pam angkut yang lengkap untuk PBS menjalankan tugas menyelamat di kawasan setempat.

"Kerajaan banyak mengeluarkan belanja kepada pasukan sukarela bagi membolehkan mereka memiliki peralatan dan disiapkan dengan ilmu penyelamat agar dapat melakukan tugas dengan jayanya," katanya.

Selain itu katanya, masyarakat di pedalaman juga perlu menubuhkan pasukan bomba sukarela di tempat mereka kerana kedudukan kawasan kediaman terletak jauh dari balai bomba.

Pada majlis itu sebuah jentera bomba yang dihadiahkan oleh Rotary Club of Japan bernilai RM80,000 diserahkan kepada pasukan sukarelawan yang aktif.

Sehingga kini pasukan bomba sukarela mempunyai anggota seramai 14,000 orang dan 332 pasukan di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain