suria

Jangan Leka Dalam Zon Selesa - Musa

LAHAD DATU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan pemimpin dan anggota Umno di semua peringkat di negeri ini supaya tidak leka meskipun parti berada dalam zon selesa.

Sebaliknya Musa, yang juga Ketua Menteri Sabah mahu anggota dan pemimpin parti sentiasa berwaspada terhadap sebarang anasir jahat yang sentiasa cuba mengadu domba bertujuan memecahbelahkan parti.

"Saya mahu ingatkan anggota parti di peringkat akar umbi supaya berwaspada dan jangan terlalu selesa walaupun kita kuat dan mantap supaya kita terus kuat," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Silam di sini, Sabtu.

Menurutnya, perpaduan kukuh dalam parti berkenaan mesti dikekalkan supaya apabila tiba musim pilihan raya umum akan datang, parti tidak menghadapi masalah untuk menang dalam pilihan raya berkenaan.

Musa berkata rakan-rakan Umno dari negeri lain sering meminta pandangannya mengenai pendekatan yang digunakan sehingga Sabah menjadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional sejak parti itu bertapak di Sabah. "Saya beritahu rakan-rakan bahawa dahulu kami rakyat Sabah (Melayu dan Bumiputera) berpecah belah dan bermusuhan sehingga menyebabkan kami lemah, akhirnya dalam pilihan raya kami kalah.

"Sekarang dengan adanya Umno, kami bersatu dan kuat. Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Katanya Umno Sabah tidak berniat untuk bermegah namun pihak luar memandang Umno Sabah memang mantap dan kuat sehingga Umno negeri lain tidak lagi melihat Umno Sabah sebagai "adik bongsu".

Musa juga mengulangi ingatannya kepada anggota Umno Sabah supaya mengelak daripada berpuak-puak atau mewujudkan kumpulan-kumpulan dalam parti berkenaan bagi memastikan kedudukan kukuh parti berterusan.

Katanya Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengiktiraf kekuatan Umno dan BN Sabah sehingga tidak teragak-agak untuk menyalurkan peruntukan besar untuk pembangunan Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain