suria

Gerakan Minta JPA Senaraikan Nama Calon Yang Layak Terima Biasiswa

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa supaya lebih telus dengan menyenaraikan semua nama calon yang telah berjaya dipilih mendapatkan pembiayaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian mereka sama ada di dalam atau di luar negara.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata perkara itu penting bagi mengelakkan pertikaian serta kekeliruan yang timbul di kalangan pelajar cemerlang yang layak memohon mengikut syarat dan kriteria ditetapkan kerajaan.

"Pendekatan lebih telus perlu dibuat di mana selepas pemilihan, penamaan harus disenaraikan dengan jelas selain mendedahkan kategori dan kriteria yang melayakkan calon terbabit menerusi Internet.

"Perkara seperti ini setiap tahun akan timbul dan kita berharap pihak JPA mengambil perhatian sewajarnya...lakukan penambahbaikan supaya tidak berulang lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di sini, Sabtu.

Dr Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata isu berkaitan JPA juga menjadi perkara hangat yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini dan parti itu meminta JPA mengatasinya kerana aduan yang diterima setiap hari menjangkau ratusan melibatkan semua kaum di negara ini.

Beliau juga meminta JPA supaya memberitahu kabinet dan menteri yang berkaitan mengenai semua maklumat, cara pemilihan serta kriteria yang membolehkan calon itu layak mendapat atau tidak pembiayaan biasiswa berkenaan.

Sementara itu, Dr Koh berkata persidangan tahunan perwakilan parti Gerakan pada 15 dan 16 Oktober depan akan dirasmikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Persidangan itu akan bermula pada 15 Oktober dengan perasmian persidangan perwakilan oleh sayap pemuda dan wanita dan diikuti dengan perbahasan terhadap ucapan presiden bersama resolusi parti pada keesokannya.

Selain itu, beliau berkata semua persidangan di peringkat negeri akan bermula pada 8 Julai di Terengganu dan berakhir pada 2 Oktober di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Dr Koh memaklumkan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting yang juga bekas anggota Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Peter Pang hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota jawatankuasa pusat parti itu manakala Tan Sri Liew Yun Fah telah dilantik sebagai Naib Presiden parti berkenaan.- BERNAMA

Artikel Lain