suria

Sebanyak 358 Kes Dirujuk Kepada SUKAGUAM

PETALING JAYA: Program Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) dilihat sebagai menepati sasaran penubuhannya apabila lebih 358 kes telah dirujuk sepanjang tiga kali program itu berlansung.

Pengerusi SUKAGUAM, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, objektif penubuhan program itu ternyata menepati sasaran awal iaitu membantu masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan berkaitan undang-undang sivil dan syariah secara sukarela.

Khairul berkata, jumlah rujukan kes yang besar itu jelas menunjukkan semakin ramai masyarakat Malaysia yang menyedari akan hak mereka dan semakin sedar bahawa mereka telah ditindas.

Mungkin katanya, SUKAGUAM telah membuka mata dan platform untuk mereka yang memerlukan pertolongan dan khidmat nasihat tampil ke hadapan.

"Untuk edisi ketiga hari ini angka itu adalah diluar jangkaan kami dan ternyata objektif penubuhan SUKAGUAM menepati sasaran.

"Jumlah ini bukan sahaja yang datang ke kaunter malah yang datang sendiri ke pejabat dan melalui e-mel," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Restoran Ali Maju Pusat Bandar Damansara di sini, Jumaat.

SUKAGUAM adalah program kesukarelaan para peguam dengan kerjasama rangkaian Restoran Ali Maju.

Dalam pada itu, Khairul berkata, 35 peratus daripada jumlah itu adalah masalah melibatkan penipuan, 25 peratus mengenai masalah syariah terutamanya tuntutan nafkah dan selebihnya berkaitan masalah lain dan mensasarkan sebanyak 30 kes dapat diselesaikan dalam sebulan.

mStar Online berkesempatan menemubual beberapa orang awam yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman berhubung masalah yang mereka hadapi.

Berikut adalah beberapa contoh kes yang dirujuk kepada SUKAGUAM:

Kes 1: Wang Simpanan Lesap Akibat Penipuan Sindiket Loteri.

Seorang warga emas yang berusia 72 tahun yang menyangka akan menjadi seorang jutawan telah ditipu sebanyak RM136,292 oleh satu sindiket penipuan loteri.

Wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Ng ketika ditemui berkata, dia menerima sehelai risalah dengan gambar seorang sami sedia membantu orang ramai yang mempunyai masalah kewangan, keluarga dan jodoh.

"Saya menjadi buntu sehingga ke tahap ingin membunuh diri kerana sudah tidak tahu cara apa lagi untuk mendapatkan kembali wang saya dan semua simpanan saya sudah habis disapu oleh sindiket itu," ujarnya yang juga seorang pesara awam.

Ng berkata, dia kehilangan wang berjumlah RM136,292 selepas termakan kata-kata pujukan seorang lelaki yang dikenali sebagai 'tok guru' dipercayai dapat memberi kekayaan kepadanya.

Berjaya diperdaya oleh orang tengah yang hanya dikenali sebagai Lim, Ng berkata dia diberitahu telah memenangi loteri sebanyak RM1.5 juta selepas menelefon nombor yang tertera pada risalah itu.

"Dia juga telah menghantar kepada saya tiket loteri yang kononnya dimenangi itu tetapi perlu membayar sejumlah wang secara berperingkat untuk melindungi tiket itu sebelum mendapat keseluruhan wang," katanya yang kesal atas kejadian itu.

Ng yang telah memindahkan wang tersebut melalui 15 transaksi bank antara November tahun lalu hingga Januari tahun ini menyedari dirinya telah ditipu apabila dia diminta menyerahkan RM52,000 sebagai cukai kepada kerajaan sebelum mendapat wang hadiah kemenangan loteri itu.

Khairul ketika diminta mengulas mengenai masalah tersebut berkata, pihaknya akan cuba berurusan dengan pihak polis untuk mengesan dalang di sebalik sindiket itu yang dikenal pasti telah memperdaya lebih 16 individu lain sejak tahun 2008.

Kes 2: Penipuan Beli Kereta Terpakai.

Tanpa menyedari kereta yang dibelinya adalah kereta curi, seorang bapa yang teruja menghadiahkan sebuah kereta jenis Proton Perdana kepada anak kesayangannya yang akhirnya mengundang masalah.

Segala urusan pembelian melalui seorang ejen kereta terpakai berjalan dengan baik sehinggalah kereta yang dipandu oleh anaknya itu ditahan polis dan mendapati nombor enjin kereta terbabit berbeza dengan nombor pendaftaran.

Tidak menyedari bahawa kereta tersebut adalah kereta curi, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Singh itu memberitahu, dia telah membuat laporan polis bagi membersihkan namanya dan berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap ejen penjual kereta itu namun kes berkenaan senyap sehingga ke hari ini.

Singh juga telah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan kembali wangnya yang berjumlah RM23,000 daripada ejen terbabit selepas pihak polis menyerahkan kembali kereta itu kepada ejen berusia 30-an itu dan dia telah menghilangkan diri.

"Saya tidak faham mengapa kereta itu diserahkan kembali kepada ejen tersebut dan dia tidak diambil sebarang tindakan. Lebih malang ejen itu telah menghilangkan diri bersama kereta tersebut," ujarnya dalam nada kecewa.

Dia amat berharap SUKAGUAM dapat membantunya menyelesaikan masalah ini kerana dia kini terpaksa melangsaikan ansuran pinjaman kereta itu kepada pihak bank.

"Memang saya beli kereta itu secara tunai tetapi wang tunai itu adalah hasil daripada pinjaman yang dibuat melalui sebuah bank," katanya.

Kes 3: Hutang Langsai Atau Tidak?

Hasrat seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Velu, 50-an untuk memiliki sebuah teksi musnah apabila mendapati dirinya mempunyai bayaran tunggakan di sebuah bank semasa ingin membuat pinjaman.

Dia mendakwa pernah berurusan dengan bank itu bagi menukar nama sebuah rumah kepada saudaranya kerana tidak lagi mampu untuk menanggung ansuran rumah itu. Ketika itu dia telah menjelaskan semua tunggakan berjumlah RM22,000.

Yakin rekodnya bersih, dia membuat permohonan pinjaman dan terkejut ketika diberitahu mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM8,000 lagi tidak termasuk caj bunga yang dikenakan oleh pihak bank.

"Persoalan saya adalah mengapa sepanjang lima tahun dulu mereka tidak menuntut wang tersebut seperti yang didakwa. Saya tidak pernah menerima sebarang surat berhubung perkara itu.

"Saya juga telah merujuk kepada Bank Negara dan mereka memberitahu rekod saya bersih," katanya.

Velu kesal kerana di sebabkan perkara itu rezekinya tersekat dan terpaksa bekerja sebagai penghantar surat khabar untuk menampung kehidupan di lewat usia.

Mengulas masalah yang dirujuk kepada SUKAGUAM, Khairul berkata, pihaknya telah memberikan khidmat nasihat terbaik kepada orang ramai yang datang dan akan berusaha membantu sebaik mungkin kepada semua masalah yang dirujuk kepada mereka.

Khairul juga menyeru kepada peguam-peguam yang ingin melakukan khidmat sosial agar menyertai program ini selain orang awam yang ingin mengadu masalah dengan menghantar e-mel kepada SUKAGUAM di sukaguam.gmail.com.

Artikel Lain