suria

Petani Tipu Pemilik Kedai Perabot Dipenjara Setahun, Dua Sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang petani dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat kerana kesalahan menipu seorang pemilik kedai perabot sebanyak RM100,000, empat tahun lepas.

Hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu terhadap Ong Chee Seng selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir kes pembelaan.

Ong, 27, didakwa menipu Lim Ming Poh, 50, dengan memperdayakan pemilik kedai perabot itu bahawa dia boleh menyediakan pinjaman wang sebanyak RM1 juta sehingga mendorong Lim melalui wakilnya, Tan Keng Har, 28, iaitu kerani akaun di kedainya menyerahkan RM100,000 kepada tertuduh untuk menjayakan pinjaman wang itu.

Bapa kepada tiga orang anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di U-Trend Industry Sdn Bhd, No 1A, Lot 210, Batu 4 1/2, Jalan Gombak, Sentul di sini pada 10.30 pagi, 30 Ogos 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam Chin Choong Seong yang mewakili Ong memohon supaya anak guamnya itu tidak dikenakan hukuman penjara sebaliknya mengenakan bon jaminan berkelakuan baik memandangkan tertuduh telah menginsafi kesalahan yang dilakukan.

"Tertuduh yang masih muda ketika kejadian iaitu 23 tahun mudah terpengaruh untuk mendapatkan wang dan melibatkan diri dalam kegiatan pinjaman wang secara salah. Ini juga merupakan kesalahan pertama tertuduh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan tertuduh telah mengambil kesempatan ke atas kesulitan yang dialami mangsa.

"Tertuduh kononnya boleh menawarkan pinjaman sehingga mendorong mangsa mengalami kerugian sebanyak RM100,000. Oleh itu, hukuman pemenjaraan dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain