suria

Nasruddin Kekal Ketua Pemuda PAS

PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasruddin Hassan At-Tantawi dijangka mengekalkan jawatannya apabila tiga pencabarnya mengumumkan menarik diri pada pemilihan parti bulan depan.

Selain Nasruddin, tiga calon yang layak bertanding ialah Timbalannya, Shapawi Abdul Rani; Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiyat dan Exco Pemuda, Firdaus Jaafar.

Terbaru, Suhaizan dalam blognya pada Jumaat mengumumkan tidak akan mencabar ketuanya untuk memberi ruang kepada Nasruddin terus menerajui sayap parti itu.

"Setelah mempertimbang pelbagai jawatan yang ditawarkan oleh ahli PAS maka saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding secara harmoni dan penuh ukhuwah jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan AJK PAS Pusat," katanya yang membuat pengumuman melalui blognya pada Jumaat.

Pada Khamis, dua lagi calon, Azman Shapawi Abd Rani dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Firdaus Jaafar, telah menyatakan hasrat tidak akan bertanding jawatan tersebut.

Dengan pengumuman Suhaizan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor itu, bermakna sah Nasruddin mempunyai laluan selesa untuk mengekalkan jawatan yang sedang disandangnya.

Bagaimanapun keputusan rasmi calon yang akan bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini.

Ketika dihubungi mStar Online Nasruddin berkata, keputusan untuk mempertahankan jawatannya dibuat atas semangat meneruskan usaha kebajikan demi memastikan kelangsungan parti pada masa hadapan.

“Saya menerima dan menghormati pencalonan yang diterima daripada kawasan-kawasan dan sedia mempertahankan jawatan itu.

“Kita serah kepada semua perwakilan untuk menentukan siapa yang mereka mahu pilih. Dalam masa yang sama, semua calon juga bebas sama ada mahu bertanding atau menarik diri,” katanya di sini, Jumaat.

Mengenai laluan mudah yang diperolehnya ekoran penarikan diri semua calon Ketua Pemuda, Nasruddin berkata: “Tugas adalah amanah, begitu juga dengan jawatan. Ia perlu dibaja dengan kepercayaan yang diberikan oleh ahli.”

“Sama ada dipilih atau tidak dipilih, tidak penting. Apa yang lebih utama adalah kita perlu memastikan golongan muda terus menyokong kita,” katanya.

Nasruddin menyandang jawatan Ketua Pemuda sejak 2009 menggantikan Salahuddin Ayub yang kini memegang jawatan Naib Presiden PAS.

Artikel Lain