suria

Imigresen Kedah Tahan Pendatang Di Plaza Tol

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan empat lelaki dan seorang wanita pendatang tanpa izin warga Myanmar, dipercayai baru memasuki negara ini melalui Thailand, di plaza tol Hutan Kampung dekat sini pukul 7.30 pagi ini.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri, Hasrina Hashim berkata semua pendatang berumur 18 hingga 30 tahun itu dipercayai masuk ke negara ini secara tidak sah melalui 'laluan tikus' di hutan kawasan sempadan Kedah-Thailand.

"Ketika ditahan semua pendatang yang menaiki sebuah kereta termasuk pemandunya gagal mengemukakan sebarang pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini.

"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai dipinjam daripada orang tempatan untuk tujuan berkenaan dan mereka dipercayai masuk untuk bekerja di sini," katanya kepada pemberita di Pejabat Imigresen di sini.

Hasrina berkata semua pendatang akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak lebih enam kali.

"Bagi pemandu, dia turut disiasat mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen yang membenarkan imigran haram berada dalam kenderaan kawalannya dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Imigresen.

"Kesemua pendatang dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Alor Setar bagi tindakan selanjutnya," kata Hasrina.

Sementara itu, dalam kes lain, satu sindiket dipercayai mengeluarkan kad National League For Democracy (Liberated Area) Malaysia kepada pendatang warga Myanmar ditumpaskan dalam satu serbuan di Taman Mahsuri, Jitra dekat sini kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

Hasrina berkata 10 warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia 24 hingga 43 tahun yang tidak mempunyai pasport atau pas lawatan berada dalam rumah sewa berkenaan ditahan.

"Berdasarkan dokumen yang ditemui mereka mengenakan bayaran RM500 bagi setiap pelanggan yang ingin mendapatkan kad berkenaan.

"Mereka juga dipercayai boleh mendapatkan status pelarian daripada pihak Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) agar dapat tinggal di negara ini lebih lama," kata Hasrina.

Hasrina berkata pihaknya merampas dua unit komputer peribadi, komputer riba, pencetak, dua beg perisian komputer dan dokumen yang mengandungi borang permohonan untuk diproses dan kad yang siap diproses.

"Serbuan ini adalah hasil maklumat awam dan pihak kami masih menyiasat tempoh operasi sindiket ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain