suria

Harga Baru RON95 Awal Bulan Depan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menetapkan harga baru RON95 selewat-lewatnya awal bulan depan selepas kajian terperinci harga minyak dunia dilakukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang meneliti semula harga pasaran minyak mentah dunia sebelum penyelarasan harga diputuskan bagi mengelak tanggungan subsidi yang lebih tinggi.

"Sekiranya harga pasaran minyak mentah dunia masih kekal melebihi AS$100 setong (RM301), pemberian subsidi minyak akan meningkat kepada RM10 bilion berbanding hanya RM8 bilion pada tahun lalu," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan program suaian perniagaan antara koperasi bersama dengan hypermarket/pasaraya, syarikat minyak dan persatuan hotel di sini, Jumaat.

Menurut beliau, kerajaan menanggung sebanyak RM1 seliter untuk subsidi minyak kepada rakyat pada ketika ini.

Justeru itu, kerajaan akan mengkaji semula harga pasaran minyak dunia setiap enam bulan agar tanggungan subsidi minyak dapat dikurangkan.

"Kajian semula untuk harga petrol RON 95 dibuat pada Disember tahun lepas. Jadi semakan terbaru akan dilakukan hujung bulan ini atau awal Jun," jelasnya.

Ismail Sabri berkata, semakan setiap enam bulan itu bukan dilakukan untuk membatalkan pemberian subsidi kepada rakyat tetapi mahu mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan secara berperingkat-peringkat.

"Kita mesti lihat perkembangan yang berlaku di dunia pada ketika ini. Harga barang tidak akan kekal sepanjang masa," katanya.

Jelas beliau, harga petrol di Malaysia masih jauh lebih murah berbanding China yang menjual petrol RON 93 pada harga RM3.80 seliter manakala Indonesia, RM3.20 bagi petrol RON92.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan program suaian perniagaan antara koperasi bersama pasar raya, syarikat minyak dan persatuan hotel untuk membantu sektor koperasi memperluaskan pasaran produk keluaran mereka.

Katanya, pemasaran produk keluaran 35 buah koperasi terpilih dapat meningkatkan lagi peratusan penyenaraian tetap produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Beliau turut berharap pihak hotel dan syarikat minyak mengecualikan caj penyenaraian tetap kepada PKS untuk disenarai tetap di premis masing-masing.

"Bersesuaian dengan program itu, kementerian mensasarkan sumbangan koperasi terhadap Keluaran Dalam Kasar Negara akan dapat ditingkatkan kepada RM10 bilion menjelang 2013," katanya.

Untuk merealisasikan sasaran itu, beliau berkata Malaysia akan menjalin kerjasama dengan koperasi di Singapura bulan depan selain menggalakkan koperasi kecil bergabung untuk menjalankan perniagaan berskala besar.

Artikel Lain