suria

Golongan Berusia 35 Tahun Berkemungkinan Ikuti Program PLKN, Kata Ketua Pengarah JLKN

SEREMBAN: Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil tidak menolak kemungkinan ada golongan berusia sehingga 35 tahun akan berada di kalangan pelajar lepasan sekolah untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada masa depan.

Beliau memberi amaran remaja yang cuba melarikan diri daripada menyertai PLKN pada Jumaat berkemungkinan besar akan berhadapan dengan situasi yang kurang menyenangkan itu pada masa hadapan.

"Peruntukan akta telah menetapkan, mereka akan tetap dicari dan dipanggil untuk menjalani PLKN sehingga mereka berusia 35 tahun," katanya kepada pemberita selepas melawat kem PLKN Seri Perkasa di sini, Jumaat.

Katanya nama mereka tidak akan dipadamkan, sebaliknya akan dicari oleh polis jika gagal melaporkan diri selepas dipanggil mengikuti latihan.

Abdul Hadi turut memberi ingatan kegagalan melaporkan diri akan menyebabkan mereka menerima hukuman untuk membuat kerja-kerja kemasyarakatan tetapi selepas tamat hukuman, mereka akan tetap dikehendaki memasuki program itu.

"Sejak program ini dimulakan pada tahun 2004, seramai 9,000 orang gagal melaporkan diri dan nama mereka sudah diberi kepada pihak polis. Kes mereka juga telah dirujuk kepada Peguam Negara. Peguam Negara membuat kata putus, untuk memanggil mereka semula," katanya.

Beliau berkata tahun ini merupakan kali pertama nama-nama yang gagal melaporkan diri dahulu dipanggil semula dan buat permulaan, 500 orang telah dipanggil.

Katanya beberapa pembaharuan telah dibuat untuk kumpulan kedua PLKN yang sepatutnya melaporkan diri pada Mac tetapi ditunda sehingga 15 Mei untuk membolehkan mereka menerima tawaran memasuki universiti tempatan atau ke tingkatan enam.

Pembaharuan ini membolehkan mereka yang dipanggil tidak perlu memasuki kem dahulu dan kemudian memohon penangguhan kerana ini membazirkan masa dan wang ibu bapa serta kerajaan.

"Di pihak kerajaan, kita akan dapat menjimatkan wang elaun, dobi, kos pakaian, gunting rambut dan makanan," katanya.

Mulai tahun ini, katanya pelatih PLKN akan menggunakan pakaian seragam celoreng jenis baru yang lebih selesa dan segak berbanding pakaian lama yang menggunakan bahan yang tidak begitu sesuai dengan cuaca panas di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain