suria

Empat Lelaki Ditahan Bersama 68,100 Liter Petrol, Diesel Subsidi

BUKIT MERTAJAM: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Seberang Perai Tengah (SPT) menahan empat lelaki dan merampas 68,100 liter petrol dan diesel bernilai RM129,980 di sebuah premis di Bukit Minyak di sini, Khamis.

Ketua PPDNKK SPT Zainal Yeop Dahari berkata dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, tiga pemandu lori dan seorang penjaga stor berusia antara 30 dan 40 tahun yang ditahan itu sedang leka memindahkan minyak subsidi dari sebuah lori ke lori lain.

Katanya dalam operasi yang disertai enam pegawai, pihaknya turut merampas empat lori termasuk satu lori tangki yang membawa muatan diesel dan petrol subsidi.

"Keempat-empat lori itu membawa 30,100 liter petrol dan 38,000 diesel bernilai RM129,980 dan minyak berkenaan dipercayai cuba dijual kepada pihak tertentu. "Kita juga percaya tempat itu dijadikan transit sebelum minyak yang dibawa dipindahkan ke lori lain dan bergerak ke lokasi lain untuk dijual. Namun, kita masih menyiasat sama ada minyak berkenaan cuba diseludup ke Thailand atau pun tidak," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Zainal berkata pihaknya menjalankan risikan dan intipan sejak sebulan lepas sebelum menyerbu premis itu kerana mendapati terdapat pergerakan yang mencurigakan. Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik premis.

"Kesemua mereka kini ditahan dan kes disiasat menurut Peraturan 3(3) Perintah Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat manakala bagi syarikat pula, denda tidak lebih RM250,000. -BERNAMA

Artikel Lain